
Ahli MT UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengkritik keadaan kacau-bilau politik di Sabah susulan tindakan parti itu menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kelmarin (6 Januari 2023).
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini (8 Januari 2023) ‘mengkritik’ tindakan memporak-perandakan keadaan politik Sabah, sedangkan rakyat sekarang ini sedang bergelut menghadapi cabaran ekonomi.
Tanpa menyerang mana-mana pihak sama ada UMNO negeri, Parti Warisan Sabah (Warisan) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau mengingatkan bahawa rakyat sudah muak dengan masalah politik 24 jam.
Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu dalam kenyataan ringkasnya berkata rakyat sewajarnya tidak dibebankan dengan kekalutan politik, tatkala sedang mendepani cabaran kehidupan dan ekonomi.
“Apakah tiada langsung, walau pun sekelumit, perasaan simpati kepada rakyat Sabah yang sedang bergelut dengan cabaran kehidupan dan ekonomi?
“Takkan asyik berpolitik 24 jam!
“Rakyat Sabah pun berhak mendapat kestabilan politik. Mereka berhak untuk mendapat ruang untuk bernafas dari semua kekalutan politik.
“Mereka marah, mual dan muak dengan politik.
“Kesabaran dalam berpolitik adalah tuntutan demokrasi. Ianya salah satu tiang seri demokrasi. Kalau tiada kesabaran, demokrasi akan pincang,” katanya mengulas perkembangan politik negeri diketuai Datuk Seri Hajiji Noor.
Pada Jumaat (6 Januari 2023), Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Hajiji.
Bagaimanapun, lima daripada 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO tidak menyokong langkah itu selain menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi mereka kepada Hajiji.
UMNO Sabah dikatakan bekerjasama dengan Warisan untuk membentuk kerajaan baharu, sambil memetik Perlembagaan Negeri sebagai alasan bahawa Hajiji kini tidak layak menjadi Ketua Menteri.
Pada masa sama, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal turut menyatakan Ketua Menteri telah hilang keabsahan sokongan majoriti ADUN, dan meminta Yang Dipertuan Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, meneliti Perlembagaan Negeri.
Sementara itu, penyokong Abdul Rahman yang mengulas kenyataannya berkata sudah tiba masanya Bung Moktar digantikan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.
“Beliau (Bung Moktar) tiada karisma, terpalit kes mahkamah dan selalu menjadi bahan jenaka di Parlimen dan di seluruh Malaysia akibat perbuatan kartunnya sendiri.
“Jika UMNO BN Sabah ingin kembali dominan di Sabah, Bung Moktar mesti disingkirkan. Beliau adalah liabiliti yang menyusahkan parti dan kerajaan,” katanya.