Ahli MKT ‘takut’ tanya Zahid dalam mesyuarat

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Hampir semua perkara yang dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini dilihat sama dengan apa yang pernah ditulis oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Facebook beliau.

Selain dua perkara terakhir yang diputuskan dalam mesyuarat itu, selebihnya hanya desakan terhadap kerajaan, termasuk membuka semula sidang Parlimen dan menyiasat buku ditulis bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Zahid pada 21 Mac lalu pernah menulis dalam Facebooknya mengenai keperluan membuka sidang Parlimen sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.

Isu berkaitan buku tulisan Tommy juga pernah ditulis oleh Zahid dalam Facebooknya pada 4 Februari lalu.

Justeru, keputusan MKT yang diumumkan kepada akar umbi UMNO hari ini dilihat semata-mata mengikut persepsi yang telah digambarkan Zahid menerusi Facebooknya atau dalam kata lain mengikut telunjuk Zahid.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang membacakan kenyataan akhbar selepas mesyuarat itu berkata, MKT mendesak menteri-menteri UMNO dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjata Siasatan Diraja menyiasat pendedahan dalam buku Tommy itu.

Pada masa sama MKT juga mengelak daripada menjawab pelbagai persoalan berbangkit berhubung krisis yang dihadapi parti itu, sebaliknya Ahli Parlimen Pontian itu terus meninggalkan sidang media, membuatkan wartawan tidak sempat bertanyakan soalan.

Beberapa isu berlegar di kalangan akar umbi sejak kebelakangan ini termasuk kedudukan Zahid sebagai Presiden UMNO susulan masalah dihadapi parti itu, serta ‘pakatan sulit’ dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak terjawab.

Mesyuarat MKT yang dimonopoli penyokong tegar Zahid juga dikatakan tidak bertanya kepada presiden UMNO mengenai kebenaran klip audio perbualannya dengan Anwar yang tular selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) hujung Mac lalu.

Selain itu, MKT juga dikatakan tidak membincangkan kedudukan Zahid dan bekas presiden, Datuk Seri Najib Razak yang menandatangani surat menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Kesembilan, yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

POPULAR