Agenda Zahid kata PN zalim supaya Bersatu, PAS tarik sokongan kepada Ismail Sabri

Tuduhan Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) zalim terhadap parti itu disanggah veteran UMNO yang melihat kenyataan Presiden UMNO itu mempunyai agenda tersembunyi.

Namun, sebagai orang lama, veteran UMNO dapat menghidu agenda itu sambil memberitahu Agenda Daily bahawa kenyataan Zahid itu untuk menimbulkan kemarahan dalam kalangan Ahli Parlimen (MP) PN.

“Zahid cuba melakukan propaganda dengan menuduh Kerajaan PN kejam terhadap UMNO, sedangkan anggota Kabinet Kerajaan PN turut dianggotai MP parti itu.

“Ini hanya untuk mencetuskan api kemarah dalam kalangan MP PN yang terdiri daripada Bersatu dan PAS, dengan harapan gabungan itu marah kepada UMNO sekali gus menarik sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM (Perdana Menteri).

“Jika ini (menarik sokongan) berlaku, maka PM tidak ada alasan lagi untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal daripada tarikh akhir penggal ke-14 Parlimen pada 2023.

“Ini juga sekali gus akan menjayakan usul mengadakan PRU lebih awal daripada pemilihan UMNO sebagaimana dibawa oleh Pemuda dan Puteri serta beberapa UMNO bahagian,” kata veteran UMNO itu kepada Agenda Daily. Berita berkaitan

Namun, tambahnya hasrat Zahid tidak kesampaian apabila pemimpin-pemimpin PN tidak cepat melatah untuk menarik sokongan, malah sudah tahu agenda Presiden UMNO itu.

Veteren UMNO itu berkata pemimpin PN, termasuk yang berada dalam Kabinet telah menyatakan sokongan supaya Ismail Sabri meneruskan tugasnya sebagai PM, dan mereka tidak akan menarik sokongan sebagaimana pernah dilakukan Zahid sebelum ini.

Sebelum ini, Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang pada 16 Ogos lalu gara-gara pengkhianatan Zahid dan 14 MP yang menjadi tali barutnya yang menarik balik sokongan.

Tindakan Zahid dan konco-konconya itu dipercayai dibuat setelah Muhyiddin enggan campur tangan membebaskan beberapa pemimpin UMNO daripada tuduhan melakukan jenayah di mahkamah.

Sejak kebelakangan ini, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menerima tekanan daripada partinya sendiri yang mendesak supaya PRU diadakan lebih dahulu daripada pemilihan parti yang perlu diadakan pada atau sebelum November tahun depan.

Antara yang memberi tekanan itu termasuk Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO, sedangkan Ismail Sabri telah menyatakan beliau tidak akan tergesa-gesa mengadakan PRU kerana masih banyak urusan, terutama membantu rakyat berdepan pandemik Covid-19, yang perlu dilakukannya.

Mengulas lanjut veteren UMNO itu berkata keengganan Ismail Sabri mengadakan PRU awal menyebabkan kepimpinan UMNO marah.

“Sesetengah pemimpin UMNO bimbang sekiranya pemilihan parti diadakan lebih awal daripada PRU, ada pihak yang akan bertanding jawatan Presiden menentang Zahid, dan mereka tidak semestinya Ismail Sabri sahaja.

“Penyokong Ismail Sabri, terutama yang berada di dalam Kabinet juga akan bertanding merebut beberapa jawatan tertinggi parti. Ini yang dibimbangkan… kerana kuasa PM boleh mempengaruhi undi.

“Lagi pula telah ada UMNO bahagian dan Pemuda yang enggan menggunakan gambar Zahid sebagai poster PRU, sebaliknya mahu menggunakan gambar PM. Ini menunjukkan kuasa Ismail Sabri lebih kuat daripada Presiden UMNO.

“Malah, banyak bahagian yang tidak mahu menggunakan gambar Zahid kerana akan menjadi liabiliti kepada mereka susulan kes mahkamah yang dihadapi Zahid,” katanya.

Ditanya kemungkinan Zahid menarik sokongan terhadap Ismail Sabri sebagaimana dilakukan sebelum ini, veteran UMNO itu dengan sinis berkata MP Bagan Datuk itu tidak akan berani berbuat demikian.

“Kalau ada telur dia buat.. tapi kalau buat lagi, ia akan menjejaskan politik dia sendiri,” katanya.

Zahid pernah memegang jawatan TPM kerajaan BN selama kira-kira 33 bulan dan kini berdepan tuduhan jenayah di dua Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Pengerusi BN itu berdepan 40 tuduhan menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) kerajaan.

Sebanyak 33 pertuduhan adalah berkaitan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Tujuh pertuduhan lagi, Presiden UMNO itu didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Dia juga mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan Yayasan Akalbudi.

Dua belas daripada pertuduhan itu membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan wang berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

BERITA BERKAIT
POPULAR