Adun Melor meninggal dunia

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor daripada PAS, Dr Yusnan Yusof, 53, meninggal dunia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor daripada PAS, Dr Yusnan Yusof, 53, meninggal dunia di kediamannya di Melor, Kelantan jam 2.28 pagi tadi.

Kematian beliau disahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memuat naik ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di laman Facebook beliau.

“Mendapat perkhabaran berita sedih pagi ini, YB Dr. Yusnan Yusof, ADUN Melor serta Timbalan EXCO Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan telah kembali ke rahmatullah di pagi Jumaat dan bulan Ramadan yang mulia ini,” tulis Hadi.

Katanya, jasa Allahyarham kepada rakyat dan negeri Kelantan terutamanya untuk warga Melor selama lapan tahun diamanahkan sebagai Adun Melor pasti akan dikenang dan dihargai.

Anak Allahyarham, Mohd Auzaie pula memaklumkan solat jenazah diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pondok Haji Hassan, Ketereh.

Difahamkan, Allahyarham mengalami serangan jantung sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Romaini Mat Daud, 52, enam orang anak, dua menantu dan dua cucu.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam hantaran di Facebook merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham.