
Ahli Dewan Undangan Negeri Kukusan Rina Jainal mengumumkan keluar Warisan dan menyertai PHRS.
Parti Warisan Sabah (Warisan) kehilangan seorang lagi wakil rakyatnya apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Jainal mengumumkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Rina mengumumkan keluar daripada Warisan yang diterajui bekas Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal dan menyertai PHRS, hari ini.
“Dengan berat hati, saya mengumumkan keluar daripada Warisan berkuat kuasa hari ini selepas lebih lima tahun berjuang di dalamnya bermula sebagai akar umbi sehingga ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Saya juga mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti termasuk sebagai Naib Ketua Wirawati Sabah dan Ketua Wirawati Kalabakan berkuat kuasa serta-merta,” katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu, hari ini.
Rina turut menyatakan menyertai PHRS berkuat kuasa hari ini bagi bersama-sama kepimpinan PHRS di bawah pimpinan Presiden, Tan Sri Liew Yun Fah untuk meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.
Pada 18 Oktober tahun lalu, Rina antara yang disebut-sebut akan keluar daripada Warisan namun beliau menafikan khabar angin berkenaan.
Sebelum ini, lima wakil rakyat Warisan bertindak keluar parti iaitu Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik); Datuk Dr Yusof Yaacob (Sindumin); Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi; Datuk Peter Anthony (Melalap); dan Datuk Nuil Juatim (Limbahau).
Selepas lima ADUN Warisan itu keluar parti, Warisan kini memiliki 17 kerusi di DUN dan blok pembangkang tinggal 26 kerusi manakala blok kerajaan termasuk ADUN Bebas dan ADUN Dilantik mempunyai 52 kerusi.
Satu kerusi DUN masih kosong susulan penyandangnya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada 17 November 2020.