ADUN DAP keluar parti perlu letak jawatan, gesa Pengerusi DAP Sabah

Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon berkata dua wakil rakyat yang mengesahkan keluar parti itu malam tadi, sepatutnya turut meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau berkata tindakan mereka dilihat sebagai untuk berselindung sebelum Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen pada tahun ini.

Poon berkata beliau kecewa dengan keputusan mereka untuk keluar parti, bersama seorang bekas senator, dan hairan dengan komen mereka, antara lain, ”terdapat kekurangan kepercayaan yang ditunjukkan oleh kepimpinan dalam jawatankuasa (parti) negeri, pengerusi negeri khususnya”.

“(Turut meletak jawatan sebagai ADUN) merupakan suatu tindakan terhormat. Ia adalah satu penyalahgunaan mandat rakyat bagi mana-mana Yang Berhormat (YB) parti politik yang dipilih untuk meletak jawatan dalam parti untuk menjadi YB bebas atau menyertai parti politik lain,” katanya dalam satu kenyataan lapor Bernama.

Poon mengulas laporan bahawa ADUN Elopura Calvin Chong, ADUN Sri Tanjong Justin Wong Yung Bin dan bekas senator Adrian Lasimbang telah memutuskan untuk keluar daripada DAP.

Beliau berkata beliau tidak pernah menegur wakil DAP negeri dan sentiasa menghormati mereka dengan menawarkan nasihat dan menyelesaikan isu bersama

Bagaimanapun, Poon menggesa penyokong dan ahli DAP supaya bertenang dan memberi jaminan bahawa parti itu akan membina semula dua kawasan pilihan raya – Elopura dan Sri Tanjong.

Sementara itu, Wong ketika dihubungi mengesahkan keluar DAP tetapi akan kekal sebagai ADUN pembangkang.

Wong juga menafikan membuat keputusan itu selepas dipengaruhi bapanya, bekas Pengerusi DAP Sabah Datuk Jimmy Wong yang keluar parti pada November tahun lepas.

“Ia sepenuhnya keputusan saya dan tiada kaitan dengan bapa saya,” katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak mempunyai dendam peribadi terhadap Poon.

BERITA BERKAIT
POPULAR