
ADUN Triang, Leong Yu Man daripada DAP dilantik Exco kerajaan negeri Pahang. - Gambar Media Pahang
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengotakan janji melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan seorang lagi ADUN PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam barisan Exco kerajaan pimpinannya.
Pada masa sama, Wan Rosdy juga melantik anak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Mohd Nizar yang juga ADUN Peramu Jaya menjadi Exco Pahang.
Najib kini menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang setelah disabitkan dengan kesalahan penyelewengan melibatkan RM42 juta dana SRC International.
Ahli Exco yang mewakili PH adalah ADUN Teruntum, Sim Chon Siang, dari PKR dan ADUN Triang, Leong Yu Man (DAP).
Wan Rosdy membentuk kerajaan UMNO-DAP apabila BN memperoleh 16 daripada 42 kerusi DUN Pahang dan PH lapan kerusi, manakala Perikatan Nasional pula memperoleh 17 kerusi.
UMNO yang memonopoli kerusi BN kemudian membuat keputusan untuk bekerjasama dengan DAP bagi menubuh kerajaan negeri.
Sementara itu, lapan lagi ahli Exco negeri yang dilantik semula ialah ADUN Benta, Mohd Soffi Abd Razak; Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) dan Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar).
Muka baharu yang disenaraikan dalam Exco kerajaan Pahang pula ialah ADUN Muadzam Shah, Razali Kassim; Mohd Johari Harun (Pelangai) dan Sabariah Saidan (Guai).
Turut dilantik sebagai exco ialah bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang, Mohd Fadzli Mohamad Kamal yang juga ADUN Dong.
Seorang bekas Exco digugurkan dalam senarai walaupun turut menang dalam PRU baru-baru ini iaitu ADUN Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram.
Istiadat angkat sumpah berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Balairung Seri Istana Abu Bakar bermula jam 3.05 petang tadi.