ADUN Bemban Ketua Bersatu Melaka, Mas Ermieyati timbalan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka, berkuat kuasa hari ini, kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan hari ini, bekas Perdana Menteri itu turut mengumumkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka yang baharu.

Muhyiddin berkata pelantikan Dr Mohd Yadzil bagi menggantikan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang meletak jawatan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri pada 26 November lalu.

“Dr Mohd Yadzil telah memenangi kerusi DUN Bemban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu. Beliau adalah Ketua Bahagian Bersatu Jasin dan Timbalan Pengerusi PN Melaka,” katanya.

Dr Mohd Yadzil berkelulusan Ijazah Perubatan dari Universiti Udayana, Indonesia dan pernah berkhidmat di Hospital Melaka dari 2005 hingga 2009 sebelum menjadi pegawai perubatan di Poliklinik Hidayah, Jasin.

Muhyiddin berkata, Mas Ermieyati adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Naib Ketua Srikandi serta Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah.

“Pelantikan Dr Mohd Yadzil dan Mas Ermieyati bagi menerajui Bersatu Melaka serta penyusunan semula badan pimpinan negeri itu diyakini dapat memperkuatkan struktur parti dan memperkukuhkan lagi perkhidmatan kepada rakyat Melaka,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR