Adly bayangkan Idris boleh jadi KM Melaka jika terima dasar PH

Bekas Ketua Menteri (KM) Melaka daripada Amanah, Adly Zahari membayangkan Datuk Seri Idris Haron boleh mentadbir negeri itu sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.

Bagaimanapun, Idris yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sungai Udang itu mesti terlebih dahulu menerima dasar yang diperjuangkan PH, kata Pengerusi PH Melaka itu ketika mengulas keputusan gabungan berkenaan memberi peluang kepada Idris bertanding atas tiket PKR.

Memetik temu bual bersama MalaysiaKini, Adly berkata Idris mempunyai pengalaman yang banyak dan PH boleh memanfaatkan kelebihan berkenaan untuk mentadbir Melaka.

“Bagi saya, apa yang paling penting ialah bagaimana pakatan itu dibentuk dan dasar-dasar PH itu boleh mereka terima.

“Justeru kalau kita mahu melangkahg ke hadapan, bagi saya yang paling penting ialah muafakat, bukan individu,” kata Adly.

Adly adalah KM Melaka semasa PH menjadi kerajaan negeri dari 2018 hingga 2020 dan akan mempertahankan kerusinya di Bukit Katil.

Namun, sehingga kini Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum mengumum secara rasmi sama ada Adly akan menerajui pentadbiran negeri Melaka sekiranya PH menang PRN itu.

Idris adalah antara empat ADUN yang menarik sokongan terhadap KM Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menyebabkan kerajaan UMNO Melaka tumbang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober lalu.

Tiga lagi ADUN yang menarik sokongan itu ialah Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum itu, Idris telah mendapat persetujuan ADUN PH untuk menjadi KM Melaka, namun tidak sempat apabila Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam, membubarkan DUN setelah mendapat nasihat Sulaiman.

BERITA BERKAIT
POPULAR