Adakah pencalonan PM dibuat UMNO bagi mempercepatkan PRU-15?

UMNO sudah mengesahkan calon tunggal Perdana Menteri (PM) susulan pengumuman sejurus Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung semalam.

Pengumuman itu diluar kebiasaan apabila Naib Presiden UMNO yang akan diletak sebagai calon PM dan bukannya secara tradisi jawatan nombor satu itu diisi Presiden parti, ia juga mengesahkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terkeluar daripada perlumbaan bagi jawatan itu.

Bagaimanapun, timbul persoalan dan spekulasi langkah tersebut dibuat bagi memastikan Parlimen dibubarkan dengan segera dan memberi pilihan raya umum (PRU) diadakan dengan kadar segera selepas mengambil kira kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang semakin kukuh ketika ini.

Ia bukan lagi rahsia Zahid dan sekutunya, Datuk Seri Najib Razak yang sedang kesuntukan masa memerlukan PRU diadakan dengan segera sekiranya mahu menyelesaikan semua pertuduhan kes mahkamah yang dihadapi kedua-dua mereka.

Untuk rekod, Najib perlu kembali Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan dan ia merupakan pusingan terakhir untuk merayu sabitan hukuman yang sudah dijatuhkan terhadapnya melibatkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Sekiranya gagal dalam rayuan tersebut, Najib akan meringkuk dalam penjara.

Sementara itu, Zahid juga sudah mengemukakan pembelaannya baru-baru ini dalam perbicaraan rasuah dan salah guna dana Yayasan Akalbudi, selain sedang berdepan beberapa pertuduhan lain di mahkamah.

Mengambil kira senario dihadapi dua pemimpin utama UMNO ini, satu-satunya jalan penyelesaian yang ada didepan mereka adalah mempercepatkan PRU dan sekiranya dapat menjadi dominan seperti yang berlaku di Melaka dan Johor berkemungkinan dapat melepaskan diri masing-masing daripada pertuduhan yang dihadapi.

Gesaan supaya PRU diadakan dengan cepat juga sudah kedengaran sejak Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada Mac lalu, namun sudah diputuskan PM diberikan kebebasan dan ruang untuk menentukan masa yang sesuai bagi meminta kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Selepas pengumuman UMNO semalam, nampaknya PM kini berada dalam kedudukan selesa sekiranya mahu mengambil keputusan untuk membubarkan Parlimen kerana jaminan sudah diberikan jawatan yang disandangnya akan kekal selamat walaupun PRU diadakan dalam masa terdekat.

Malah, isyarat paling jelas UMNO mahu PRU dipercepatkan adalah apabila membuat pendirian untuk tidak menyambung memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang yang akan berakhir pada 31 Julai nanti.

Namun, adakah ia bermakna jika MoU tersebut tidak disambung, blok pembangkang juga akan menarik sokongan terhadap PM dan menyebabkan hilang majoriti dan akhirnya terpaksa juga mengadakan PRU dengan segera selepas itu?

Terdapat kemungkinan UMNO mahu membawa naratif untuk mendesak pembangkang sendiri yang mengambil inisiatif menarik sokongan terhadap PM dan ia boleh diadakan alasan paling munasabah untuk membubarkan Parlimen sekiranya ia mahu disegerakan.

Jika pembangkang sendiri yang bertindak menarik sokongan, logiknya pasti semua tanggungjawab dan kesalahan akan diletakkan ke atas bahu pembangkang yang akan dituduh sebagai punca krisis politik berterusan yang dicetuskan mereka.

Pastinya UMNO akan berkelebihan jika PRU diadakan dengan segera, keputusan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor adalah bayangan yang akan berlaku nanti, kemenangan besar pasti menjadi milik Barisan Nasional (BN).

Tidak mustahil kemenangan majoriti dua pertiga akan menjadi milik UMNO-BN nanti, kemudiaan apabila menjadi dominan semula ia akan lebih mudah selepas itu untuk menyelesaikan semua kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi pemimpin mereka.

Bagaimanapun, adakah pembangkang sudah bersedia untuk menamatkan MoU dan berdepan UMNO-BN dalam keadaan mereka berpecah teruk? Lupakah pembangkang episod pertembungan banyak penjuru yang berlaku di Melaka dan Johor, siapa yang lebih untung dan rugi selepas itu?

BERITA BERKAIT
POPULAR