Adakah Asyraf Wajdi akan ajak tularkan kesalahan PM pakai baju BN tinjau pusat mengundi?

Kejadian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memakai baju yang mempunyai logo Barisan Nasional (BN) ketika meninjau dua pusat pembuangan undi dan penjumlahan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, hari ini (12 Mac 2022), tular di media sosial.

Ini kerana mengikut Akta Pilihan Raya mana-mana pihak tidak boleh memakai pakaian yang mempunyai logo parti bertanding di kawasan pusat mengundi.

Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan bahawa seseorang pengundi adalah dilarang sama sekali memasuki tempat mengundi sekiranya mereka memakai apa-apa pakaian dan peralatan yang memaparkan nama calon, simbol atau lambang parti politik pada hari mengundi.

Naib Presiden UMNO itu dilaporkan memakai baju dan topi BN ketika hadir meninjau Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Siantan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas bersama calon BN, Datuk Ramlee Bohani.

“Sempat meninjau kelancaran proses pengundian di Pusat Daerah Mengundi Taman Siantan (SK Perumahan Tampoi 2) DUN Kempas.

“Kepada Datuk Ramlee yang berdepan saingan tujuh penjuru di Kempas, saya doakan semoga kemenangan berpihak kepada kita,” tulis Ismail Sabri dalam Facebook rasminya.

Sementara itu, beliau juga sempat meninjau dan memasuki Pusat Penjumlahan Undi DUN Johor Jaya dengan memakai baju BN sambil berbual dengan petugas pilihan raya.

Mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam lingkungan 50 meter daripada pusat membuang undi tidak dibenarkan, dilarang memakai pakaian yang berlogo parti bertanding.

Bagi kesalahan ini hukuman penjara setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Batasan pada hari mengundi:

“Tiada seorang pun boleh pada hari mengundi dalam jarak lima puluh (50) meter daripada sempadan mana-mana tempat mengundi dan dalam tempat mengundi, memakai, memegang atau membawa apa-apa bentuk atau jenis pakaian, tutup kepala, barang hiasan, roset, botol air atau payung yang padanya tercetak atau tertera nama calon atau nama, lambang atau simbol mana-mana parti politik.”

Pada 26 Januari 2019 ketika mengulas satu kejadian ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dipetik di dalam UMNOonline sebagai mempersoalkan macam mana SPR boleh membenarkan calon Pakatan Harapan (PH) masuk ke dalam kawasan tempat pembuangan undi di SK Senderut dengan memakai baju berlambang logo parti?

Beliau mempersoalkan tindakan tersebut ekoran ia jelas bertentangan dengan peraturan SPR sendiri dan telah melakukan kesalahan.

Menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, Asyraf Wajdi menggesa supaya kesalahan tersebut dapat ditularkan dan dikongsi agar SPR mengambil tindakan atas desakan kuasa rakyat.

Sementara itu, memetik Malaysikini, penyelaras pemantau pilihan raya Bersih Ashraf Sharafi berkata kehadiran Perdana Menteri meninjau proses pengundian berhampiran kawasan pusat mengundi hari ini merupakan satu bentuk kesalahan pilihan raya

Menurutnya aktivis parti tidak dibenarkan membawa bahan kempen dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi.

Selain itu, katanya kempen juga tidak dibenarkan di mana-mana kawasan pilihan raya pada hari pengundian.

“Sesiapapun yang berkempen pada hari pengundian, termasuk perdana menteri telah melakukan kesalahan pilihan raya,” katanya.

Menurut laporan itu, Ashraf juga memetik Seksyen 26(1)(f) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menyatakan:

“Bagi pihak mana-mana calon, merayu undi pemilih di dalam mana-mana bahagian pilihan raya bagi menyokong atau menentang mana-mana calon atau parti politik dalam sesuatu pilihan raya dengan apa-apa cara jua termasuk melawat pemilih di rumah atau di tempat kerja mereka atau menemu ramah orang ramai.”

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memakai baju yang mempunyai logo Barisan Nasional (BN) ketika hadir meninjau Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Siantan di kawsan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas.

BERITA BERKAIT
POPULAR