Ada pihak sombong, ego, 3 penjuru tak dapat dielak: Pemuda PAS

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas keegoan ‘parti rakan’ sehingga menyebabkan pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula hari ini sehingga 20 November ini.

Ketua DPPM Ahmad Fadhli Shaari kecewa apabila pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan tatkala PAS berusaha membawa mesej penyatuan ummah.

“Ternyata sikap sombong dan ego sesetengah pihak tidak mudah dilentur. Walaupun begitu, perjuangan harus diteruskan.

“Kita saksikan apakah kesudahan pertandingan 3 penjuru ini terhadap kuasa politik Melayu dan Islam,” katanya dalam kenyataan tanpa menyebut pihak sombong dan ego yang dimaksudkan itu.

Sebelum ini, UMNO mengenakan syarat kepada PAS jika mahu bekerjasama parti Islam itu mesti menggunakan lambang sendiri, bukannya lambang Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka.

Bagaimanapun, PAS yang menganggotai pakatan politik berdaftar di bawah PN membuat keputusan menolak syarat UMNO dan dengan tegas bertanding di PRN Melaka menggunakan lambang PN.

Keputusan itu menyebabkan pemimpin atasan UMNO tidak berpuas hati dan mengkritik PAS, sedangkan sebelum itu Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan partinya akan bergerak sendirian dalam PRN Melaka.

Susulan itu juga Majlis Tertinggi (MT) memberi mandat kepada Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang dengan PAS dan Bersatu, bagi mengelak pertandingan sesama sendiri parti pemerintah Kerajaan Pusat.

Tetapi, usaha itu gagal setelah UMNO dengan sombong dan ego enggan bertolak ansur dalam pembahagian kerusi.

Untuk rekod, Kerajaan Pusat diterajui Ismail Sabri mendapat sokongan majoriti daripada Bersatu dan PAS.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, Pemuda PAS berdiri kukuh di atas keputusan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk bertanding atas logo PN dalam pilihan raya itu.

“Kesemua jentera Pemuda PAS akan digerakkan semaksima mungkin bagi membantu kempen pilihanraya, yang pastinya berbeza dengan suasana sebelum ini berpandukan norma baharu pencegahan Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Melaka untuk berani melakukan perubahan dengan mengangkat sebuah kerajaan yang berwibawa, bersih dan berintegriti.

“Semoga pilihan anda akan membentuk sebuah kerajaan Melaka yang stabil, bersih dan berintegriti demi mencapai Melaka yang sejahtera,” katanya yang turut mengucapkan selamat berjuang kepada calon PN, termasuk lapan calon PAS yang akan bertanding.

Katanya, Pemuda PAS memuji keberanian PN mengetengahkan calon-calon muda dalam PRN Melaka, termasuk dua calon muda PAS iaitu Ketua Pemuda PN Melaka, Ahmad Bilal Rahaudin yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, dan Ketua Pemuda PAS Melaka, Al Afiz Yahya di DUN Bukit Katil.

Calon PAS yang bertanding di PRN Melaka:

N01 Kuala Linggi – Aziah Mohd Sa’ad
N05 Taboh Naning – Abu Hashim Abdul Samad
N09 Durian Tunggal – Jaafar Osman
N14 Klebang – Bakri Jamaludin
N17 Bukit Katil – Mohamad Alhafiz
N21 Duyong – Kamarudin Sidek
N26 Serkam – Ahmad Bilal
N27 Merlimau – Hashim Shafie.

BERITA BERKAIT
POPULAR