
Ahli Parlimen Marang yang juga Timbalan Ketua Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Tan Sri Abdul Hadi Awang membahas Bajet 2023 di Dewan Rakyat.
Kemungkinan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO akan tumbang adalah tidak mustahil boleh berlaku, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu berkata ia perubahan kerajaan bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku dan pernah berlaku sebelum ini, malah mendakwa parti komponen dalam kerajaan campuran kini sudah timbul rasa tidak puas hati antara satu sama lain.
“Itu satu kenyataan politik dan biasa berlaku dalam politik, undi tidak percaya dan dapatkan SD (Akuan Bersumpah), penyokong kerajaan berpaling tadah itu berlaku.
“Kita melihat ada tanda-tanda yang menunjukkan dalam kerajaan campuran yang ada ini perasaan tidak puas hati bersama-sama komponen sendiri, ada berlaku.
“Sebab itu sesuatu tidak mustahil berlaku,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Hadi sebelum ini juga memberi bayangan kemungkinan kerajaan campuran diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang dalam masa terdekat.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak bimbang dengan jangkaan dibuat Hadi tersebut tetapi menasihati jika mahu menukar kerajaan ia perlu dilakukan pada Pilihan Raya Umum (PRU) depan dan bukan sekarang.
“Ketepikanlah soal perbedaan pendapat. Kalau mahu tukar kerajaan, tukar dalam PRU depan.
“Kalau penggal yang lalu, tiga pertukaran Perdana Menteri dan Malaysia menjadi bahan ketawa seluruh dunia… jangan lakukan kerja-kerja buruk ini untuk menyusahkan rakyat sekali lagi,” katanya dipetik laporan media.
Anwar juga senada dengan anak muridnya, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dengan menyifatkan ramalan kerajaan campuran akan tumbang yang dibuat Hadi sebagai ‘mengigau’ dan tidak mungkin akan berlaku.
“Tak apalah…itu hak dia (Abdul Hadi) untuk merancang dan mengigau,” katanya dipetik laporan media.