Terbukti ada ‘guru’ luar atur perjalanan PAU 2020: Annuar

Tan Sri Annuar Musa.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata sudah terbukti ada ‘guru’ luar yang memberi tunjuk ajar kepada muridnya cara menyusun perjalanan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 lalu.

Link video: PAU 2020 Paling Teruk Dalam Sejarah – Ismail Sabri

Beliau menyifatkan semua perwakilan PAU selama dua hari pada 27 dan 28 Mac lalu sudah dimanipulasi tanpa sedar mengikut kehendak guru tersebut yang menggunakan anak muridnya sebagai alat untuk menipu para perwakilan.

“Rupanya ada guru di luar yang coaching (tunjuk ajar) PAU… Perwakilan semua kena jual.. apa yang disandiwarakan dalam PAU hanya tektikal,” katanya.

Annuar juga berkata, usul yang diluluskan dalam PAU itu kini boleh dipertikaikan kerana disokong berdasarkan fakta yang dikemukakan.

Katanya, sekarang ini ternyata bahawa fakta yang dikemukakan itu mengelirukan.

Adalah dipercayai ‘guru’ yang dimaksudkan itu adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perbualan telefon yang mirip suara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, Presiden UMNO itu mengatakan Anwar adalah gurunya.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu juga bersetuju dengan ucapan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa PAU 2020 adalah yang paling teruk dalam sejarah UMNO.

Ketika melancarkan program Bangkit 15 peringkat Negeri Pahang, baru-baru ini, Ismail Sabri berkata menteri UMNO dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) paling teruk diserang dalam PAU.

“Sepatutnya ucapan penutup memberi bekal kepada semua perwakilan bawa balik apa yang patut kita buat untuk menghadapi pilihan raya.. seluruh bahagian duduk depan TV nak tengok.. nak dengar apa pesanan-peanan yang diberi supaya kita boleh memperkukuhkan parti pada peringkat akar umbi.

“Tapi yang berlaku dua hari .. tembak saja…. DAP sekali pun tak kena tembak. PKR sekali pun tak kena tembak. yang kena tembak teruk.. menteri lah,” kata Ismail Sabri.