
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman membidas Barisan Nasional (BN) yang terus mendesak Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan segera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Desakan itu jelas dilihat dalam beberapa perhimpunan sama ada oleh UMNO atau BN sebelum ini, dengan terbaharu ketika Konvensyen Tahunan BN Ke-48 semalam.
Pada konvensyen semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ‘memaksa’ Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO melihat sendiri bagaimana pemimpin BN mahukan PRU-15 diadakan segera tahun ini juga.
Kejadian itu berlaku ketika Zahid menyampaikan ucapannya, selepas Ismail Sabri berucap sambil menegaskan beliau tidak akan menangguhkan walau sesaat pun PRU-15.
Berita berkaitan: Zahid paksa PM lihat desakan BN supaya PRU-15 diadakan segera
Mengulas perkara itu, Dr Muhammad Faiz berkata BN tidak wajar berkali-kali menggesa atau mendesak Ismail Sabri mengadakan segera PRU-15 kerana ia merupakan hak prerogatif PM untuk berunding dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
Malah, beliau juga menyifatkan kepemimpinan BN sebagai angkuh dan sedang mengejar sesuatu tarikh tertentu dalam tahun ini.
“Kepimpinan BN dilihat angkuh dan tergesa-gesa dalam soal ini seolah-oleh sedang dikejar sesuatu tarikh dalam tahun ini.
“Adakah ianya kerana tarikh tamatnya segala proses mahkamah individu tertentu?,” soal Dr Muhammad Faiz tanpa merujuk kepada siapa yang beliau maksudkan.
Namun, umum mengetahui bahawa dua pemimpin kanan iaitu Zahid dan Penasihat BN Datuk Seri Najib Razak sedang menghadapi perbicaraan berhubung pelbagai tuduhan jenayah, termasuk rasuah dan pengubahan wang haram serta penyalahgunaan kuasa ketika kedua-dua menjadi orang nombor satu dan dua negara sebelum ini.
Najib telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dihukum penjara serta denda, namun sedang menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan, setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan hukuman itu.
Mahkamah Persekutuan pada 29 April memaklumkan kedua-dua peguam Najib dan pihak pendakwaan bahawa ia akan mendengar rayuan itu selama 10 hari dari 15 Ogos hingga 19 Ogos, dan dari 22 Ogos hingga 26 Ogos.
Sementara, Zahid pula telah dipanggil membela diri dalam kes Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan berdepan pertuduhan lain di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Faiz mengingatkan bahawa bukan hanya BN sahaja parti politik atau pihak yang mewakili segmen masyarakat dalam negara ini.
“PM wajar mengambil kira semua pendapat serta faktor sebelum membuat keputusan untuk mengadakan PRU.
“Kestabilan politik kerajaan sekarang telah diganggu oleh satu kluster dalam UMNO sejak hujung 2020 setelah Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman terhadap Najib dalam skandal SRC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maka, sejak itu, katanya, pelbagai muslihat serta alasan digunakan oleh kelompok yang sama untuk menjatuhkan kerajaan sendiri sama ada pada peringkat negeri dan Kerajaan Pusat.