90% calon UMNO muka baharu, Rauf bertanding kuatkan lagi bakal KM baharu

Barisan Nasional (BN) dijangka meletak 90 peratus muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bakal tampil buat kali pertama bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Penampilan Rauf menguatkan lagi desas-desus beliau bakal dicalonkan juga sebagai Ketua Menteri yang baharu jika berjaya memenangi PRN kali ini dengan bergaya.

Menurut laporan Utusan, semua calon sudah dipanggil bertemu dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Ibu Pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Pengumuman rasmi akan dibuat pada Sabtu ini oleh Mohamad sendiri dan akan diserahkan watikah pencalonan.

Laporan tersebut juga mendedahkan hanya tiga penyandang yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dikekalkan iaitu Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga ADUN Lendu; ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman; dan ADUN Serkam, Datuk Zaidi Atan.

Dua Ketua UMNO Bahagian yang diketepikan pula ialah Datuk Hasan Rahman (Jasin) dan Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan (Alor Gajah).

Timbalannya yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad pula berdepan tugas getir, diletakkan di DUN Pantai Kundor berdepan penyandang kerusi, Datuk Nor Azman Hassan yang sudah digugurkan keahlian daripada parti.

Selain itu, turut dicalonkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Khaidhirah Abu Zahar atau Dira di DUN Rim menggantikan penyandang, Datuk Ghazale Muhamad.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Akmal Saleh pula dicalonkan di DUN Merlimau menggantikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Roslan Ahmad.

Seorang lagi Ahli MT UMNO, Datuk Rais Yasin dipilih bertanding di DUN Paya Rumput manakala Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tangga Batu, Mohd. Fasarul Md. Isa pula di DUN Sungai Udang.

Turut tersenarai ialah Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Ridhwan Tun Ali seperti dijangkakan berentap di DUN Pengkalan Batu, manakala Timbalannya, Datuk Hasnoor Sidang Husin bersaing di DUN Bukit Katil.

Turut dicalonkan semula ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di DUN Telok Mas.

BERITA BERKAIT
POPULAR