4,149 perwakilan DAP pilih seorang sahaja Melayu duduki kerusi CEC

Sepuluh daripada 93 calon yang bertanding bagi menduduki Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sesi 2022-2025 adalah Melayu.

Tetapi, hanya seorang sahaja yang menang, itu pun berada pada tangga ke tujuh daripada 30 anggota CEC yang dipilih menerusi undian oleh 4,149 perwakilan yang hadir secara fizikal.

Yang menang itu pula hanya satu-satunya calon wanita Melayu – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman – yang memperoleh 991 undi.

Sembilan lagi calon Melayu yang bertanding, tidak mendapat perhatian rata-rata perwakilan yang terdiri daripada kaum lain di dalam parti yang kononnya menganggap mereka bukan rasis dan cauvinis.

Calon-calon Melayu yang tidak menjadi pilihan perwakilan DAP pada pemilihan semalam (20 Mac 2022) ialah:

  • Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji;
  • ADUN Tebing Tinggi yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdul Aziz Bari;
  • ADUN Tanjong Bunga, Zairil Khir Johari;
  • Bekas ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali;
  • Abdul Aziz Isa Marindo;
  • Azaha Abdul Rani;
  • Mohammad Basar Umar,;
  • Syahredzan Johan; dan
  • Wan Hamidi Hamid.

Biarpun, jumlah keanggotaan CEC itu ditambah daripada 20 kepada 30 kerusi bagi pemilihan kali ini, ahli DAP Melayu tetap tidak diterima, sebaliknya seperti kata Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad mereka hanya mahu mempergunakan orang Melayu bagi mencapai cita-cita.

Keputusan pemilihan semalam juga jelas membuktikan DAP hanyalah sebuah parti yang mementingkan perkauman, parti cauvinis yang mahu meraih keuntungan dalam kalangan undi orang bukan Melayu, terutama di kawasan bandar.

Sebelum ini veteran UMNO yang juga Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah turut mendakwa orang Melayu dalam DAP diperalatkan oleh rakan Cina mereka.

Namun bagi mengelak DAP dikatakan tidak rasis dan cauvinis, parti itu dijangka melantik beberapa pemimpin Melayu untuk memegang jawatan rendah dalam parti, sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Ini berlaku pada 2017 apabila Tengku Zulpuri dilantik menjadi Naib Pengerusi DAP Kebangsaan bersama Chong Chieng Jen; Chow Kon Yeow; M Kulasegaran; dan Stephen Wong Tien Fatt.

Manakala Zairil pula dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan yang dipengerusikan Yeo Bee Yin.

Walaupun, beberapa pemimpin Melayu bakal dilantik mengisi jawatan di dalam DAP, keputusan yang dibuat 4,149 perwakilan parti itu semalam, menterjemahkan bahawa Melayu tidak kira tua atau muda, sebenarnya diketepikan oleh DAP.

Berikut adalah senarai 30 ahli CEC DAP untuk penggal 2022-2025:

  1. Gobind Singh Deo: 1,782 undi;
  2. Chow Kon Yeow: 1,641;
  3. Anthony Loke Siew Fook: 1,625;
  4. Teresa Kok Suh Sim: 1,373;
  5. Hannah Yeoh Tseow Suan: 1,346;
  6. Fong Kui Lun: 1,341;
  7. Steven Sim Chee Keong: 1,340;
  8. Lim Guan Eng: 1,311;
  9. Ng Sze Han: 1,282;
  10. Ng Suee Lim: 1,279;
  11. Tan Kok Wai: 1,263;
  12. Nga Kor Ming: 1,262;
  13. M. Kulasegaran: 1,226;
  14. Lim Lip Eng: 1,156;
  15. Lim Hui Ying: 1,155;
  16. Chong Chieng Jen: 1,154;
  17. Alice Lau Kiong Yieng: 1,119;
  18. Chan Foong Hin: 1,101;
  19. Teo Nie Ching: 1,071;
  20. Ronnie Liu Tian Khiew : 1,070;
  21. Wong Kah Woh: 1,069;
  22. Liew Chin Tong: 1,008;
  23. Tan Hong Pin: 992;
  24. Young Syefura Othman: 991;
  25. P. Kasthuriraani: 978;
  26. Teo Kok Seong: 976;
  27. Thomas Su Keong Siong: 953;
  28. Vincent Wu Him Ven: 950;
  29. Wong Shu Qi: 939; dan
  30. Jannie Lasimbang: 877.

BERITA BERKAIT
POPULAR