4 bekas ADUN patut bertanding atas tiket bebas

Empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang khianat hingga menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri tersebut disaran bertanding atas tiket bebas dalam pilihan raya negeri nanti.

Ahli Parlimen (MP) Selayang William Leong Jee Keen dalam satu kenyataan menegaskan, Pakatan Harapan (PH) juga tidak boleh membiarkan mereka bertanding di bawah gabungan itu.

“Keempat-empat ADUN yang menarik sokongan terhadap ketua menteri dan menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) di Melaka harus bertanding atas tiket bebas.

“Mereka mempunyai tanggungjawab dan kewajiban untuk membuktikan tindakan mereka yang menjatuhkan kerajaan mereka sendiri dilakukan dengan tujuan menegakkan prinsip dan ideologi parti mereka.

“Mereka harus membuktikan bahawa pengundi setuju bahawa yang itu adalah (silap) ketua menteri dan bukan mereka yang menyimpang dari prinsip.

“Keempat-empat ADUN ini harus bertanding secara bebas supaya mereka boleh dinilai oleh pengundi mereka. Mereka tidak boleh bersembunyi di bawah tiket parti politik lain,” katanya.

Kenyataan Leong itu dibuat susulan terdapat spekulasi bahawa PH akan menerima keempat-empat bekas ADUN tersebut. 

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan, Datuk Noor Effandi Ahmad, dan Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PH telah menyuarakan kebimbangan mereka untuk bekerjasama dengan keempat-empat Adun tersebut. Isu itu juga menyebabkan ketegangan tercetus dalam gabungan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR