30 peratus calon muda dipilih BN pada PRN Johor, berpeluang menang besar

Barisan Nasional (BN) bakal menampilkan sekurang-sekurangnya 30 peratus calon daripada golongan muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad optimis langkah itu dapat meningkatkan peluang BN untuk memenangi PRN kelak, menurut laporan Bernama.

“Saya melihat secara umum Johor mempunyai jumlah muka baharu yang ramai termasuk calon muda di bawah 40 tahun.

“Sekurang-kurangnya 30 peratus (yang akan bertanding) adalah calon muda,” katanya kepada pemberita selepas majlis Apresiasi Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor 2022 di sini hari ini.

Hasni berkata senarai penuh 56 calon BN kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan bakal diumum pada Khamis ini (24 Feb).

Sebelum ini, Ketua Pemuda BN Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata lebih 15 calon Pemuda BN ditawarkan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN Johor.

Sementara itu, Hasni berkata kerajaan negeri sedang menggubal Dasar Agro Makanan Negeri Johor 1.0 bagi tujuan meningkatkan pengeluaran makanan seterusnya menambah bilangan pengusaha terlibat dalam pengeluaran makanan.

Beliau berkata ketika sektor lain menunjukkan penguncupan mendadak akibat pandemik COVID-19, sektor agromakanan mencatatkan pertumbuhan sehingga 3.1 peratus.

“Selain daripada memberi tumpuan kepada sektor ini sebagai impetus ekonomi baharu, kerajaan negeri juga sedang dalam peringkat akhir penggubalan Dasar Agromakanan Negeri Johor 1.0,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR