100 penduduk serah borang sertai Bersatu kepada Muhyiddin

Seramai 100 penduduk di sekitar Sungai Terap, Muar, Johor hari ini secara rasmi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Penduduk yang diketuai Khalil Mohamed turut menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis ringkas.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas Perdana Menteri itu turut memuat naik gambar penyerahan borang keahlian itu dalam Facebook beliau.

“Alhamdulillah, hari ini saya menerima 100 keahlian baharu BERSATU. Borang disampaikan oleh Saudara Khalil bin Mohamed yang mewakili penduduk sekitar Sungai Terap, Muar.

“Terima kasih atas sokongan anda kepada Bersatu dan Perikatan Nasional,” kata Muhyiddin.

PN bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

Semua calon itu selesai melafazkan Ikrar Aku Janji Antirasuah, pada satu majlis yang diadakan di Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata lebih membanggakan, PN menjadi satu-satunya parti yang mewajibkan calon-calonnya melaksanakan ikrar sedemikian.

“Ini membuktikan komitmen parti yang sangat tinggi dan berterusan dalam perjuangan membanteras rasuah seterusnya mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang bersih dan berintegriti.

“Ada empat intipati penting dalam aku janji tersebut yang turut merangkumi pematuhan sepenuhnya undang-undang seperti mana diperuntukkan dalam Akta SPRM 2009 dan undang-undang berkaitan semasa menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR