Tumpu kerusi yang pembangkang menang, bukan berebut kerusi: PAS

Tumpuan perlu diberikan terhadap kerusi yang dimenangi oleh parti pembangkang dan bukan berebut kerusi sesama parti dalam gabungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), kata PAS.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perkara paling penting adalah mengelak berlakunya pertembungan sesama sendiri dan hanya dengan menumpukan kepada kerusi pembangkang baharu kedudukan kerajaan sedia ada akan lebih kukuh.

“Jadi buat masa sekarang ini (kita harap) supaya tiga-tiga parti memberi fokus pada kerusi yang belum kita menang (iaitu) kerusi dimenangi PH (Pakatan Harapan).

“Daripada kita bertembung kerusi (yang) kita menang baik kita fokus kerusi yang tak menang dan masih di tangan PH supaya kita elakkan pertembungan sesama kita dan menambah jumlah kerusi yang boleh kita menangi dalam PRU-15,” katanya dipetik laporan media.

Jelasnya lagi, PAS memilih untuk menyokong calon daripada parti penyandang kerusi berkenaan sama ada Barisan Nasional (BN) atau PN sekiranya berlaku pertembungan dalam gabungan berkenaan.

“Bagi PAS, kita tetap berpegang utuh dengan penyatuan ummah yang menjadi teras parti dan rundingan berterusan akan dilakukan bersama MN dan PN bagi mencapai titik persamaan.

“Kita mahu supaya umat ini bersatu dan kita mahu elak tiga penjuru (kerana ini) pendirian parti dan saya fikir apa masalah pun ada jalan keluar, InshaAllah,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan partinya tidak akan berkompromi kerusi yang dimenangi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, ia termasuk kerusi pemimpin UMNO yang keluar parti sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbincangan pengagihan kerusi akan dibincang sesama parti komponen dalam PN tanpa melibatkan UMNO yang tidak jelas pendiriannya.

Bagaimanapun, Muhyiddin tidak menolak akan berlaku pertembungan dengan UMNO dalam pilihan raya umum nanti memandangkan sikap yang ditunjukkan Zahid yang enggan berkompromi dengan kerusi yang mereka menangi sebelum ini.

Untuk rekod, parti komponen PN terdiri daripada Bersatu, PAS, GPS, Gerakan dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak.

BERITA BERKAIT
POPULAR

Sorry. No data so far.