
Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin hadir mesyuarat Kabinet hari ini, namun kedudukannya di dalam jemaah menteri tidak dibincangkan.
Zuraida dilaporkan masih menunggu masa sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukannya sebagai anggota Kabinet.
Setakat ini, Zuraida masih menjalankan tugas di kementerian seperti biasa dan agenda membanteras isu dakwaan buruh paksa dalam sektor perladangan sawit negara tetap menjadi keutamaan biarpun kedudukannya sebagai menteri Kabinet masih belum diputuskan.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilapor mengesahkan mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan kedudukan Zuraida, sebaliknya menumpukan kepada kos harga barangan.
Sementara itu memetik BH, sumber yang rapat dengan Ahli Parlimen Ampang itu memberitahu Zuraida masih memberi tumpuan kepada tugas di kementerian kerana PM belum membuat keputusan mengenai kedudukan sebagai menteri Kabinet.
“Beliau sedang berusaha dalam isu sekatan import sawit oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat dan masih bekerja kuat melawan agenda antiminyak sawit.
“Jadual Zuraida hari ini juga padat dengan tugasan di kementerian termasuk menghadiri mesyuarat,” katanya.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, setelah keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Sebelum ini, Agenda Daily melaporkan Zuraida bagaimanapun dijangka dikekalkan jawatannya buat sementara waktu. Ia susulan kenyataan Zuraida yang kekal menyokong kepemimpinan Ismail Sabri.
Sumber memberitahu Agenda Daily walaupun menyedari bahawa kuota jawatan menteri yang kini dipegang Zuraida adalah milik Bersatu, PM telah menyatakan bahawa tidak ada rombakan Kabinet akan dilakukan.
Sumber itu berkata pimpinan tertinggi UMNO juga tidak mahu ahli Bersatu yang baharu diberi jawatan menteri, terutama apabila hubungan kedua-dua parti itu terus renggang.
“Hanya tinggal setahun lebih sahaja lagi Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan. Lagi pula, PBM merancang menjadi parti gabungan Barisan Nasional (BN) bukannya Perikatan Nasional (PN) yang menentang BN.
“Manakala Bersatu pula tidak dapat memberi tekanan kepada PM untuk menggantikan kuota menteri atau tempat Zuraida itu dengan ahli Bersatu yang lain.
“Walaupun boleh bertindak menarik sokongan dan menyebabkan Ismail Sabri jatuh, Bersatu tidak akan berbuat demikian kerana tindakan itu akan menyebabkan politik negara kembali bergolak, sekali gus memberi kesan negatif kepada PN,” kata sumber itu.