
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin masih bercuti dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih belum berjumpa dengan Ahli Parlimen (MP) Ampang yang baharu melompat parti itu.
Perdana Menteri berkata akan menggadakan pertemuan dengan Zuraida selepas beliau habis bercuti berehat daripada lawatan kerjanya ke Turki dan Greece baru-baru ini dan akan menetapkan tarikh pertemuan.
“Belum lagi (bertemu Zuraida). Beliau masih bercuti lagi. Tarikh nanti saya akan tetapkan,” katanya ringkas dipetik laporan BH.
Ismail Sabri ditemui media selepas menyempurnakan pelancaran sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu hari ini.
Terdahulu, Zuraida memutuskan untuk keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang diterajui bekas pemimpin PKR.
Zuraida juga memaklumkan hasrat untuk melepaskan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 26 Mei lalu.
Ketika kenyataan itu dikeluarkan, Zuraida berada di Turki bagi memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin serta dijangka berucap pada majlis pembukaan.
Beliau kemudian dilaporkan bergerak ke Athens, Greece bagi memenuhi undangan Misi Perniagaan dan Pengembangan Pasaran Kayu Malaysia bersama Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dan pulang ke tanah air Khamis lalu.
Susulan pengumuman itu, Ismail Sabri ketika di Tokyo, Jepun dilaporkan berkata, Zuraida masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa sehingga keputusan mengenainya diputuskan selepas mereka bertemu kelak.
Zuraida mula dilantik sebagai menteri Kabinet di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sebelum mengekalkan jawatan itu ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.