
Satu adengan kontroversi yang tular di media sosial dan dianggap tidak sesuai bagi drama atau filem Melayu.
Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31, Zul Ariffin, tampil memohon maaf susulan babak panas aksi bersama pelakon baharu, Siti Hariesa, tular dan mencetus kontroversi sejak Jumaat lalu.
Dia membuat permohonan maaf itu menerusi Instagram Story yang dimuat naik kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.
Pelakon filem Sangkar itu mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video di Instagram memaparkan beberapa babak panas bersama Siti Hariesa dalam drama terbaharu lakonannya berjudul Perempuan Itu, Jumaat lalu.
Menerusi video terbabit, Zul dilihat melakonkan beberapa babak panas dengan pelakon terbabit. Antara yang mencuri perhatian adalah ketika Zul merangkul badan Siti Hariesa dan menggendong wanita itu dari depan.
Tidak hanya itu, terdapat juga babak agak mengghairahkan ketika Siti Hariesa menyuapkan ‘whipped cream’ ke dalam mulut Zul sebelum dia menghabiskannya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen terkejut dengan video yang dimuat naik pelakon itu selain tidak kurang menganggap babak yang dilakonkan agak keterlaluan.
Bagaimanapun, Zul bertindak memadamkan video berkenaan kelmarin, selepas ia mula menjadi kontroversi.
Tindakan Zul turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menegur perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam industri hiburan tempatan.
Pihak TV3 dalam satu kenyataan memandang serius dan mengambil berat akan suara dan pandangan orang ramai mengenai video dalam petikan adegan daripada drama berkenaan.
“Dengan hati terbuka, saya ambil maklum di atas semua maklum balas dari banyak pihak berkenaan klip video yang dipaparkan sebelum ini.
“Saya mohon maaf kepada semua yang terkesan dari tindakan memuat naik video berkenaan,” tulisnya di Instagram Story seperti dilapor Harian Metro.
Zul berkata, selepas ini dia akan lebih meneliti dan berhati-hati untuk memuat naik sebarang bahan yang diberikan kepadanya untuk dipromosikan di media sosial.