Ziarah gereja: Polis siasat Che’gu Bard susulan laporan menteri DAP

March 17, 2023 · Isu semasa

Polis hari ini mengesahkan bahawa mereka telah memulakan siasatan terhadap Pengerusi Penaja Muafakat Nasional Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin, susulan pendedahannya berkaitan ‘Jom Ziarah Gereja’ anjuran agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard, turut mendakwa KBS menyalurkan dana kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang didakwa mengajak belia bukan Kristian untuk melawat gereja.

“Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah menerima laporan yang dibuat berhubung siaran Facebook (oleh Che’GuBard Original) yang dimuat naik kira-kira tiga hari lalu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (17 Mac 2023).

Laporan polis itu telah dibuat oleh Setiausaha Politik KBS, Dayangku Norhazwani Awangku Marsal di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada jam 6 petang 13 Mac lalu.

Pada 14 Mac, Che’gu Bard membidas sikap membisu menteri dan wakil rakyat beragama Islam yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) berhubung program mengajak belia bukan Kristian ke gereja yang didakwa dianjurkan agensi di bawah KBS.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh daripada DAP yang menuduh kenyataan beliau sebagai fitnah sebelum setiausaha politiknya membuat laporan polis.

“Hannah Yeoh, apa yang fitnah? Penganjur program rekrut bukan Kristian ke gereja itu bukan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan ka Atau program ajak bukan Kristian itu tidak wujud?

“Kalau program itu tidak salah kenapa panik hingga agensi bawah KBS itu padam poster ajak belia bukan Kristian ke gereja?,” soal Che’Gu Bard.

Badrul Hisham kemudian membuat laporan balas polis terhadap Hannah di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara semalam (Khamis, 16 Mac 2023).

Antara lain dalam laporan polis itu, Badrul Hisham turut memetik buku tulisan Hannah ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang mencertiakan mengenai perjalanan hidupnya sebagai penganut Kristian.

“Di mana buku tersebut sendiri penuh dengan tulisan mempromosi agama Kristian. Dalam buku tersebut juga tertulis penglibatan dia di dalam bidang politik dibantu oleh pihak Kristian, baik dari segi dana mahupun kempen.

“Tanpa berselindung dalam buku itu menulis bagaimana beliau menggunakan kedudukan politik beliau untuk berdakwah mengenai agama Kristian.

“Tidak tertinggal seruan dia kepada ahli-ahli felo Kristian seberang laut, khususnya dan penganut agama Kristian umumnya untuk mengikut jejak langkah beliau menceburkan diri dalam bidang politik untuk membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian,” kata Che’gu Bard.

Pada hari sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mengecam Hannah sambil mengingatkannya tentang kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan larangan tegas yang ditetapkan undang-undang terhadap penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam.

Selain itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula berkata program di mana orang Islam mengunjungi rumah ibadat bukan Islam seperti kuil, gereja, dan gurdwara untuk mempelajari agama-agama ini selain daripada agama sendiri harus ditolak dan disekat.

Merujuk kepada lawatan gereja anjuran Impact Malaysia, badan di bawah kawalan KBS yang dirancang esok, Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata MAIS melihat program ini mempunyai elemen untuk menarik perhatian belia “terutamanya belia Islam” untuk belajar dan menimba ilmu tentang agama selain Islam.

Sementara itu, Beh berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja mencetuskan kekacauan awam melalui kenyataan berkaitan isu kaum dan agama.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau mengulas mengenai isu itu secara provokatif yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan antara etnik di Malaysia,” katanya.

Ziarah gereja: MAIS lihat ada elemen tarik belia Islam pelajari Kristian

Berita berkaitan
Penganjuran ‘Thai Hot Guy’, JAWI siasat pihak penganjur
March 22, 2023· Isu semasa
Isu ziarah gereja: Polis akan panggil Hannah Yeoh untuk dirakam keterangan
March 20, 2023· Isu semasa
Kertas siasatan penganjuran program ‘Jom Ziarah Gereja’ dibuka: Polis
March 19, 2023· Isu semasa
Polis nafi wujud rancangan himpunan besar-besaran untuk tumbangkan kerajaan
March 19, 2023· Isu semasa
Popular
Bukankah PH tuduh SPRM alat politik, tanya C4 kepada Anwar
March 28, 2023
‘Lawatan guna wang rakyat tapi balik enggan perjelaskan pula’
March 28, 2023
Proton perkenal SUV baharu X90
March 28, 2023
Ayob Khan dilantik Pengarah JSJ
March 28, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Ayob Khan dilantik Pengarah JSJ
9 jam lalu · Isu semasa
‘Lawatan guna wang rakyat tapi balik enggan perjelaskan pula’
10 jam lalu · Isu semasa
Proton perkenal SUV baharu X90
10 jam lalu · Isu semasa
Bukankah PH tuduh SPRM alat politik, tanya C4 kepada Anwar
13 jam lalu · Isu semasa
27 penyelidik IPTA, IPTS terima geran penyelidikan MASA
13 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir hairan Anwar disambut pegawai rendah di Arab Saudi
9 jam lalu
[VIDEO] Kerajaan campuran takut penyatuan orang Melayu tolak pemimpin Melayu gagal
14 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok