Ziarah gereja: Menteri DAP jaga KBS perlu ingat Islam agama Persekutuan

March 16, 2023 · Isu semasa

PAS mengecam Menteri Belia dan Sukan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) daripada DAP, Hannah Yeoh, yang secara tidak bermaruah memetik kenyataan pemimpin PAS untuk dijadikan senjata politik, berkaitan program ‘Jom Ziarah Gereja’.

Serentak itu, PAS menggesa agar program tersebut sekali-kali tidak merupakan projek Evangelisme dan ia juga tidak akan melibatkan belia Islam sebagaimana jaminan yang diberikan Hannah di Parlimen pada Selasa (14 Mac 2023).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu pada asasnya menyambut baik semua usaha mewujudkan persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini sebagai suatu matlamat murni yang perlu dihayati oleh semua golongan malah ia mampu mengelakkan unsur kesalahfahaman dan konflik berikutan perbezaan-perbezaan itu.

Katanya PAS juga mengambil maklum tentang Projek Artikel 11 yang dianjurkan oleh Impact Malaysia, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meliputi program Jom Ziarah yang melibatkan lawatan ke tempat-tempat ibadat pelbagai agama.

Projek itu dikatakan bertujuan memberi pendedahan kepada pesertanya tentang aspek-aspek perbezaan agama di negara ini seterusnya ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang mampu hidup secara harmoni dan lebih bertoleransi.

“Selain itu semua pihak termasuk Menteri berkenaan perlu akur tentang kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan larangan tegas yang ditetapkan oleh undang-undang terhadap penyebaran Agama Bukan Islam dalam kalangan orang Islam.

“Bagaimanapun PAS amat dukacita apabila Menteri KBS memetik kenyataan-kenyataan Presiden PAS Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam jawapan beliau di Parlimen sebagai sandaran atau justifikasi kepada program berkenaan.

“Adalah amat nyata apa dipetik tersebut dibuat tanpa menjelaskan konteks ianya dibuat dan tanpa penerangan tepat berhubung kenyataan-kenyataan itu sama ada oleh individu terbabit secara langsung atau pihak-pihak yang mewakili mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (16 Mac 2023).

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata apa yang paling penting difahami dalam hal ini adalah kenyataan tersebut dibuat dalam konteks bahawa semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan bukan Islam, baik secara individu atau kumpulan, hanya dibenarkan dalam perkara-perkara yang bukan ritual atau keagamaan.

Menurutnya, program itu juga bukan terbuka penyertaannya tanpa syarat, dan segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar.

“Selain itu, PAS juga berasa amat kesal apabila Menteri KBS memetik kenyataan-kenyataan itu secara tidak adil atau tidak bermaruah dengan menggunakannya sebagai “senjata politik” bertujuan menimbulkan pertelagahan antara PAS dengan parti BERSATU yang merupakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

“Tindakan tersebut menjadi lebih terserlah motifnya apabila beliau tidak memberi ruang kepada wakil PAS ataupun BERSATU untuk memberi respons terhadap kenyataan beliau itu.

“Apatah lagi Menteri berkenaan tampak bercakap tentang peri pentingnya keharmonian dan persefahaman dalam masyarakat, seolah- olah ia merupakan subjek eksklusif yang tidak terpakai atau melibatkan pihak-pihak lain yang dilihat tidak sealiran dengan beliau,” katanya.

Justeru, katanya PAS menegaskan program yang dirancang tidak sewajarnya diteruskan oleh pihak berkenaan andainya ia dibayangkan bukan sahaja tidak dapat mencapai hasrat yang dinyatakan malahan berkemungkinan meluaskan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud dan boleh pula mengundang kepada bantahan terbuka yang jauh lebih membimbangkan.

Berita berkaitan
Isu ziarah gereja: Polis akan panggil Hannah Yeoh untuk dirakam keterangan
15 jam lalu· Isu semasa
Hanya perang saraf UMNO selepas kalah, kata Hadi
March 19, 2023· Politik
Kecam perarakan cosplay PAS di Terengganu, tapi membisu perarakan bendera LGBT?
March 15, 2023· Isu semasa
NGO bawah KBS anjur program ‘Ziarah Gereja’, jemput belia bukan Kristian
March 13, 2023· Isu semasa
Popular
Isteri pelakon bawa watak Anwar mohon cerai: Laporan
March 20, 2023
Selama tiga minggu berturut-turut pelabur asing lari dari Malaysia
March 20, 2023
Kempen antirasuah Anwar hanya mahu singkir pembangkang: Tun M
March 20, 2023
Che’gu Bard dakwa Anwar, DAP lindungi kesalahan menteri KBS
March 20, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Indira kemuka saman 8 negeri tuntut isytihar tukar agama unilateral tak sah
5 jam lalu · Isu semasa
Kos haji bagi B40 kekal RM10,980 dengan RM400 juta peruntukan bantuan
8 jam lalu · Isu semasa
Jangan kata kita nak bunuh TnG, kata Loke
8 jam lalu · Isu semasa
Che’gu Bard dakwa Anwar, DAP lindungi kesalahan menteri KBS
10 jam lalu · Isu semasa
Kempen antirasuah Anwar hanya mahu singkir pembangkang: Tun M
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anak muda pantang ditipu, lebih yakin dengan Perikatan
16 jam lalu
[VIDEO] Sertai Pakatan dakyah ‘cybertrooper’, PAS tawakal dengan Bersatu
20 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok