
Datuk Zamri Yaakob dipilih sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Nafas.
Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) hari ini mengumumkan pemilihan Datuk Zamri Yaakob sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Nafas berkuat kuasa Isnin lepas susulan peletakan jawatan pengerusi oleh Dr Anis Mahmud.
Nafas dalam kenyataan memaklumkan Zamri dipilih melalui proses pengundian oleh semua AJP yang dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam satu mesyuarat, Isnin lepas.
“Nafas percaya pengalaman luas beliau dalam bidang pertanian serta pengurusan pertubuhan peladang serta koperasi berasaskan pertanian mampu membawa transformasi kepada pergerakan pertubuhan peladang seluruh negara,” menurut kenyataan itu lapor Bernama.
Dalam kenyataan sama, Nafas memaklumkan Zamri yang berasal dari Temerloh, Pahang, berdaftar sebagai ahli peladang sejak 1985 dan merupakan ahli yang aktif serta telah memegang pelbagai jawatan dalam pelbagai peringkat pertubuhan peladang.
“Antara jawatan yang disandang beliau adalah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pulau Tawar sejak 1996, Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pahang sejak 2001 seterusnya dipilih menjadi Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Pahang pada 2020.
“Sepanjang penglibatan beliau di pertubuhan peladang, beliau telah meraih Anugerah Peladang Jaya di peringkat kebangsaan dan negeri Pahang pada 2002,” menurut Nafas.
Selain itu, Zamri juga memegang pelbagai jawatan antaranya Pengerusi Koperasi Pekebun Getah Nasional (NARSCO) Berhad sejak 2012 hingga kini, Pengerusi NARSCO Travel Tours Sdn Bhd (2013 hingga kini), Ahli Pihak Berkuasa RISDA (2016 hingga kini) dan Pengerusi Koperasi Gabungan Negeri Pahang (2014 hingga kini).
Zamri juga merupakan Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Jerantut (1998 hingga kini) serta Lembaga Pengarah Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah Fleet Sdn Bhd (2014 hingga kini).