
Pendakwah bebas, Dr Zakir Naik
Malaysia akan menjadi destinasi Dr Zakir Naik selepas media melaporkan penceramah bebas itu akan pulang ke tanahair pada masa terdekat.
Menurut laporan media, Zakir baharu selesai beberapa program di Oman.
Peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader, ketika mengesahkan langkah itu, memaklumkan Zakir Naik masih mempunyai program di negara terbabit.
“Dia (Zakir Naik) akan pulang dalam masa terdekat selepas selesai semua program di sana,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Zakir Naik berada dalam keadaan selamat dan diberi layanan yang baik sepanjang berada di Muscat, Oman.
Menurutnya, penceramah terbabit turut mengirimkan pesanan memaklumkan beliau selamat dan berada di hotel.
“Zakir juga memaklumkan, laporan yang mendakwa penahanannya sekadar berita rekaan,” katanya.
Beliau berkata, selepas itu dia akan pulang semula ke Malaysia namun tidak dapat diperincikan perjalanan pulang itu demi keselamatannya.
Zakir Naik yang menetap di Malaysia, berdepan dakwaan mahkamah di India, berhubung pengubahan wang haram, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.
Malah Kerajaan India pernah menghantar permohonan rasmi bagi mengekstradisinya pada Januari 2018.
Untuk rekod, pemimpin DAP sebelum ini juga sering mengkritik kerajaann kerana membenarkan Zakir menetap di Malaysia, malah pelbagai label dan kecaman dibuat para pemimpin DAP.