
Calon 'orang' Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi lebih banyak dalam senarai calon?
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus memberi tekanan kepada naib presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan segera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kira-kira setahun lebih awal daripada sepatutnya iaitu sebelum September 2023.
“Segerakanlah atau UMNO BN akan tewas PRU. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidaklah berguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail Sabri adalah Perdana Menteri (PM) yang berhak mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dengan memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata gabungan berkenaan akan tewas sekiranya PRU tidak diadakan segera, tatkala pembangkang kini menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbi UMNO.
“Isu yang dikemukakan pembangkang berbentuk serpihan dan tidak dilihat dari perspektif menyeluruh.
“Dengan kata lain, mereka serang, spin dan kemudian cuba cetuskan imej bahawa merekalah (yang) terbaik walaupun PH (Pakatan Harapan) berkuasa 22 bulan membuktikan sebaliknya hingga PM mereka sendiri meletak jawatan apabila tahu manifesto mereka tak dapat ditunaikan,” kata Zahid.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengingatkan bahawa pimpinan parti dan akar umbi UMNO yakin inilah waktu terbaik untuk mengadakan PRU, malah sudah banyak kali dijelaskan justifikasinya.
Apa yang penting, kata Zahid ialah UMNO tidak mahu pembangkang terus menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum Parlimen dibubarkan untuk menyerang BN.
“Apabila melengahkan PRU bermakna kita memberikan senjata kepada musuh untuk terus menyerang. Sebab itu, tidak ada satu pun pembangkang minta bubar Parlimen walaupun dahulu selalu memperlekeh kerajaan yang ada sekarang bukan mandat rakyat, kerajaan pintu belakang dan sebagainya.
“Kebimbangan pembangkang dapat dilihat apabila bekas Perdana Menteri PH terpaksa mengakui bahawa pendirian UMNO yang mahukan PRU-15 diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu,” mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama The Associated Press semalam.
Dalam temu bual itu Dr Mahathir berkata ketika ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada UMNO untuk menang besar.
Mengulas lanjut, Zahid berkata Dr Mahathir terpaksa mengakui bahawa dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia.
“UMNO sudah membuat pendirian tersebut sudah lama pun. Kini terpulanglah kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan parti UMNO.