Zahid sindir KJ masih wajibkan pakai pelitup muka fasa peralihan endemik

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyindir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung pengumuman bahawa memakai pelitup muka masih diwajibkan, tatkala negara akan mula beralih kepada fasa endemik Covid-19.

Dalam ucapan politik di flat Larkin Perdana, Zahid sebaliknya memberitahu Khairy supaya melihat bagaimana negara lain menangani situasi Covid-19 dan mencadangkan Malaysia tidak perlu meneruskan arahan wajib memakai pelitup muka.

“Apabila saya pergi ke Jerman, ia adalah sebaliknya. Orang ramai tidak perlu memakai pelitup muka mereka di luar,” kata Zahid seperti dilapor MalayMail, hari ini.

Memetik laporan itu, di sebalik dakwaan Zahid itu, pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di Jerman dan akan diteruskan sebagai salah satu langkah asas yang akan kekal walaupun kebanyakan sekatan akan ditarik balik pada 20 Mac.

Saluran berita Jerman The Local memetik tinjauan di seluruh negara itu, di mana 52 peratus responden Jerman berkata mereka akan terus memakai pelitup muka walaupun arahan ditarik balik, dengan 79 peratus mengatakan mereka akan terus berbuat demikian dalam pengangkutan awam dan 76 peratus di kedai.

Memetik MalayMail, Zahid berkata:

“Mengapa kita masih perlu memakai pelitup muka di luar selepas perintah kawalan pergerakan tamat? Mengapa kita perlu bernafas dalam nafas kita sendiri di luar?.”

“Saya cadangkan Khairy melawat negara lain untuk melihat bagaimana mereka melakukannya,” katanya sambil ketawa.

Kira-kira 100 penyokong Barisan Nasional kemudian mencemuh selepas Zahid bertanya kepada mereka sama ada mereka mahu terus memakai pelitup muka.

Antara negara yang telah menghapuskan pemakaian pelitup muka adalah Amerika Syarikat, Iceland, Itali dan Korea Selatan.

Di kebanyakan negara di mana sekatan telah dilonggarkan, pelitup muka masih diperlukan di tempat yang sesak atau di dalam rumah, atau bagi mereka yang tidak divaksinasi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa dalam melalui fasa peralihan endemik, pelitup muka kekal diperlukan di kawasan awam.

Pada Isnin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan penceramah membuka pelitup muka ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

BERITA BERKAIT
POPULAR