Zahid setuju dia diberi ruang luas bela diri di mahkamah

June 29, 2022 · Isu semasa

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini bersetuju bahawa prinsip kedaulatan undang-undang di Malaysia terpakai ke atas semua rakyat, tanpa mengira pengaruh atau kekayaan mereka.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan ke atas 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pelanggaran jenayah.

Ditanya Ketua Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika pemeriksaan balas, Zahid bersetuju bahawa Malaysia mempunyai undang-undang untuk memerangi rasuah dan Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa semua rakyat Malaysia berada dalam kedudukan yang sama di bawah undang-undang.

Raja Rozela: Prinsip kedaulatan undang-undang ini bermakna seseorang tanpa mengira kedudukan, miskin atau kaya, berkuasa atau mempunyai pengaruh, semuanya tertakluk kepada undang-undang yang sama?

Zahid: Betul, tetapi bukan pendakwaan terpilih.

Raja Rozela kemudian mengulangi soalan: Prinsip kedaulatan undang-undang bermaksud seseorang tidak kira kedudukannya, semuanya tertakluk kepada undang-undang yang sama, jawab ya atau tidak, setuju atau tidak.

Memetik MalayMail, pada ketika ini, hakim meminta Zahid menjawab soalan itu dan menjelaskan beliau akan diberi peluang kemudian untuk menjelaskan jawapannya apabila ditanya oleh peguamnya sendiri pada peringkat pemeriksaan semula.

Zahid kemudiannya bersetuju dengan soalan yang dikemukakan.

Raja Rozela kemudian berusaha untuk menonjolkan situasi hipotesis di mana seorang ahli politik dan tukang kebun akan didakwa di bawah undang-undang yang sama dan mencadangkan bahawa hanya ahli politik yang boleh mendakwa bahawa pertuduhan terhadapnya adalah konspirasi bermotifkan politik.

Peguam Zahid bagaimanapun membantah soalan ini, dan pihak pendakwaan bersetuju menyimpannya untuk penghujahan seperti yang dicadangkan oleh hakim.

Zahid kemudiannya bersetuju dengan dakwaan bahawa dia telah dianiaya secara politik melalui perbicaraan kes ini hanya berdasarkan peranannya sebagai ahli politik.

Raja Rozela: Datuk Seri melabelkan kes yang didakwa terhadap kamu ini sebagai penganiayaan bermotifkan politik semata-mata atas alasan kamu seorang ahli politik, betul?

Zahid: Ya.

Zahid mendakwa bahawa pendakwaan itu bermotifkan politik adalah “realiti”, menegaskan bahawa inilah yang “berlaku kepada saya dan beberapa ahli politik lain yang diheret untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah”.

Ditanya oleh Raja Rozela sama ada beliau bersetuju bahawa tiada keterangan yang diberikan oleh pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan ini boleh dilihat atau dikaitkan sebagai bermotifkan politik selain fakta bahawa beliau seorang ahli politik, Zahid menjawab: “Dari aspek pertuduhan, saya bersetuju, tetapi dari cara pendakwaan dijalankan saya tidak bersetuju.”

Bagaimanapun, ditanya sama ada beliau telah diberi ruang seluas-luasnya untuk membela diri mengikut proses undang-undang sejak perbicaraan bermula sehingga kini, Zahid berkata dia bersetuju.

Zahid turut mengesahkan sehingga kini beliau terus memegang jawatan politik yang sama seperti yang disandangnya pada akhir 2018 ketika pertama kali didakwa dalam perbicaraan ini.

Kedudukan yang disandang oleh Zahid kini ialah Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahli Parlimen Bagan Datuk, dan Ketua Bahagian UMNO Bagan Datuk.

Zahid mengesahkan selain dirinya yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi (YAB) dan beberapa pemegang amanah lain yang juga ahli politik, tidak ada kena mengena dengan yayasan itu.

Beliau juga mengesahkan bahawa tiada sesiapa pernah memintanya membatalkan pendaftaran YAB dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, juga mengesahkan bahawa tiada sesiapa seperti perdana menteri atau timbalan perdana menteri pernah mengancamnya untuk berhenti menjadi pemegang amanah yayasan itu.

Raja Rozela juga pada satu ketika menyatakan bahawa beliau merasakan Tun Dr Mahathir Mohamad – yang menjadi perdana menteri dari Mei 2018 hingga Februari 2020 – sendiri mungkin tidak mengetahui tentang YAB Zahid dan terdapat banyak perkara lain yang lebih penting untuk Dr Mahathir perlu fikirkan.

Terdahulu, Zahid tidak bersetuju bahawa adalah munasabah untuk mengatakan politik dan wang tidak boleh dipisahkan tetapi juga berkata wang diperlukan untuk menjalankan aktiviti politik.

“Wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang.”

Zahid juga bersetuju dengan Raja Rozela bahawa rasuah masih membimbangkan di Malaysia dan ia mesti diperangi.

Dalam perbicaraan ini, Zahid – yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri – menghadapi 47 pertuduhan, iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah berhubung dana yayasan amal Yayasan Akalbudi, 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah. .

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah disambung petang ini.

Berita berkaitan
Skandal LCS, PH kesal dengan cara UMNO layan tentera ikut suka hati
4 minit lalu· Politik
Saya doakan Najib dan keluarga tabah, kata Hishammuddin
19 jam lalu· Politik
Asyraf kritik keputusan dalam kes Najib, boleh dituduh hina mahkamah
19 jam lalu· Politik
Ahli perniagaan mengaku tak bersalah ubah wang haram RM2.04 juta
August 17, 2022· Isu semasa
Popular
[KEMAS KINI] Peguam Najib mohon tarik diri
August 18, 2022
Mahkamah tolak permohonan Hisyam tarik diri wakili Najib
August 18, 2022
Peguam Najib pilih tak kemuka hujahan selepas permohonan ditolak
August 18, 2022
Skandal LCS: TLDM kalah bertempur sejak awal, kata bekas panglima
August 15, 2022
Lagi Isu semasa terkini
66.82 peratus pelajar cemerlang STPM golongan B40
30 minit lalu · Isu semasa
Peguam Najib pilih tak kemuka hujahan selepas permohonan ditolak
50 minit lalu · Isu semasa
KPM lancar Portal Aduan Buli, umum Radzi
1 jam lalu · Isu semasa
Mahkamah tolak permohonan Hisyam tarik diri wakili Najib
2 jam lalu · Isu semasa
[KEMAS KINI] Peguam Najib mohon tarik diri
4 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Polisi baharu cegah kematian tahanan polis
August 15, 2022
[VIDEO] Himpunan kapal LCS mahu siasatan bukan penjelasan
August 15, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok