Zahid sambung kontrak Visa UKSB lebih awal, tak ikut tatacara: Saksi

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas 33 pertuduhan menerima suapan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi projek Visa Luar Negara (VLN) walaupun kontrak syarikat itu masih berbaki tiga tahun lagi.

Bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Siti Jalilah Abd Manap berkata kelulusan yang dikeluarkan Ahmad Zahid, 68, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi pelanjutan kontrak berkenaan adalah terlalu awal serta tidak mengikut tatacara yang berkuat kuasa.

“Tiada keperluan, tempoh belum habis lagi,” kata saksi pendakwaan ketiga ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengenai keperluan lanjutan kontrak itu disegerakan, pada hari ketiga perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem VLN.

Beliau berkata UKSB memohon kelulusan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan sistem VLN dan e-VISA selama enam tahun dari 31 Okt 2019 hingga akhir 2025, tiga tahun sebelum tarikh kontrak terdahulu tamat pada 31 Okt 2019, sedangkan berdasarkan klausa 2.2.1 Perjanjian Sistem VLN yang dimeterai sebelum ini, UKSB boleh memohon pelanjutan tempoh kontrak tidak kurang daripada enam bulan sebelum tarikh kontrak tamat.

“Bagaimanapun, surat UKSB bertarikh 8 Feb 2017 diminitkan oleh Ahmad Zahid menyatakan seperti berikut: ‘Dato’ Sri KSU, oleh kerana KDN berpuas hati dengan khidmat syarikat ini, sila lanjutkan pelaksanaan kontrak VLN & e-VISA untuk tempoh enam tahun sehingga 2025’.

“Ahmad Zahid pada 1 Mac 2017 bersetuju supaya kontrak VLN disambung selama enam tahun, bagaimanapun, kadar siling kutipan caj VLN dan terma kontrak bagi tujuan pelanjutan perlu dirunding semula dengan mengambil kira profit sharing dengan kerajaan hasil daripada kutipan caj VLN,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya.

Memetik laporan Bernama Siti Jalilah berkata, selepas mendapat keputusan pada 1 Mac 2017, satu minit ceraian bertajuk ‘Status Permohonan Pelanjutan Kontrak VLN’ disediakan bagi mengemukakan syor kepada Ahmad Zahid, antaranya tempoh kontrak dan skop kerja VLN bagi tempoh enam tahun bermula 2019 hingga 2025 dibawa untuk pertimbangan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan JPM bagi mendapatkan kelulusan jemaah menteri mengikut tatacara kewangan sedia ada.

“Seterusnya, minit ceraian bertarikh 15 Jun 2017 dan surat UKSB diminitkan oleh Ahmad Zahid seperti berikut: ‘Dato’ Sri KSU (Ketua Setiausaha), Sila sambung kontrak VLN/e-Visa sehingga tahun 2022 & tidak perlu ke UKAS & kabinet. Sila segerakan’,” katanya.

Ketika ditanya Wan Shaharudin, adakah semua surat berkenaan melanggar tatacara, saksi itu menjawab, “Ya, Kerana arahan dan tatacara bagi kontrak perlu dibawa ke UKAS untuk dapat kelulusan daripada jemaah menteri (Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM).”

Wan Shaharuddin: Mengapa perlu bawa ke UKAS?

Siti Jalilah: Kerana ia melibatkan pengambilan sumber kewangan awam dan projek itu dapat lebih RM25 juta.

Siti Jalilah turut memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid juga melanjutkan permohonan kelulusan bagi melanjutkan tempoh pelaksanaan kontrak perkhidmatan Pusat Hentian Setempat bagi Kemudahan Visa di China.

Bagaimanapun, saksi itu berkata kontrak tersebut hanya disambung selama tiga tahun bermula 2018 hingga 2021.

“Minit ceraian ini ditandatangani oleh Ahmad Zahid pada 24 Julai 2017 pada ruangan keputusan Menteri Dalam Negeri dengan mencatat ”Diluluskan lanjutan sehingga tahun 2021 tanpa dibawa ke UKAS atau MJM seperti persetujuan dalam VLN terdahulu. Perjanjian ini berkuatkuasa dari 15 Mei 2018 sehingga 14 Mei 2021 untuk tempoh tiga tahun,” katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018 mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, Euro15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 1 Jun.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Agong yakin langkah kerajaan tadbir negara, tangani Covid-19June 13, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021