Zahid saman fitnah Dr Mahathir

April 27, 2022 · Isu semasa

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi Perdana Menteri Malaysia untuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Zahid, 69, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq pada 20 April lepas dengan menamakan Dr Mahathir, 96, sebagai defendan, lapor Bernama.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, Presiden UMNO itu berkata pada 19 Oktober 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Zahid mendakwa Dr Mahathir telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti PEJUANG sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.

“Pada hari yang sama juga, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis tersebut telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro AWANI berdurasi 56 minit dan 46 saat (56:46) yang boleh diakses melalui Internet,” dakwa Zahid dalam pernyataan tuntutan saman itu.

Zahid mendakwa, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis tersebut telah mendapat jumlah tontonan sebanyak 23,443 tontonan dan akaun Youtube Astro AWANI mempunyai 1.44 juta pelanggan.

Rakaman video itu telah dilaporkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial iaitu akaun YouTube ‘MalaysiaGazette TV’, Facebook profil ‘Astro AWANI’ dan akaun TikTok ‘MalaysiaGazette TV’ serta portal-protal berita dalam talian seperti Berita Harian Online, Agenda Daily, The Malaysian Reserve, Malaysia Now, Malaymail dan New Straits Times pada 23 Feb lepas.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan serta menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Perdana Menteri Malaysia bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.

“Kenyataan itu juga membawa maksud saya seorang yang bermuka-muka dan tidak boleh dipercayai, setiap tindakan saya adalah disyaki dan diragui ketelusannya serta cuba mencampuri sistem kehakiman negara,” dakwa Zahid.

Zahid berkata kenyataan-kenyataan fitnah itu memburukkan dan merosakkan reputasi serta nama baiknya selain menjatuhkan, merendahkan maruah serta kredibilitinya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Oleh yang demikian, kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah jelas dikeluarkan dengan niat jahat sebagai alat untuk mempengaruhi dan memberikan reputasi buruk serta negatif kepada saya selaku pemimpin tertinggi parti Barisan Nasional yang secara tidak langsung memberikan imej buruk kepada parti berkenaan yang bertanding di dalam PRN Johor,” dakwa plaintif.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Zahid turut memfailkan notis permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) untuk perintah injunksi interim supaya defendan sama ada secara diri sendiri, pegawai, pembantu, ejen, pekerja dan wakilnya untuk menarik balik kenyataan fitnah tersebut dan menghalang mereka menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platfom media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

Turut dimohon perintah injunksi interim bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media di Youtube dan Facebook ‘Astro AWANI’ serta Youtube dan Tiktok ‘MalaysiaGazette TV’.

Selain itu, plaintif juga memohon perintah injunksi interim mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi berkata pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Afidah Idris hari ini, mahkamah menetapkan 17 Jun bagi pendengaran permohonan inter-parte di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff yang berlangsung secara dalam talian.

Pada bulan lepas, Ahmad Zahid turut memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau ada meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.

Berita berkaitan
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024· Politik
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
BNM dijangka naikkan OPR 25 mata asas lagi bulan depan
October 21, 2022
Banjir: Tiga beradik maut kena renjatan elektrik di Kelantan
December 19, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok