Zahid sakit belakang pula, hujahan lisan kes rasuah tertangguh lagi

Prosiding mahkamah membabitkan penghujahan lisan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, ditangguhkan lagi setelah Presiden UMNO itu dimasukkan ke hospital untuk prosedur kecederaan tulang belakang, pagi ini.

Pihak pendakwaan diketuai Datuk Raja Rozela Raja Toran, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya masih ingin meneruskan hujahan kerana sudah terlalu banyak penangguhan diberikan, sebelum meminta mahkamah memanggil doktor memberikan prognosis dan menjelaskan keadaan Zahid.

Beliau juga mencadangkan tertuduh mengikuti penghujahan berkenaan secara dalam talian.

Penghujahan lisan kes Presiden UMNO itu sepatutnya didengar mulai hari ini dan 6 hingga 9 September depan, setelah pihak pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac lalu.

Bagaimanapun ketika prosiding bermula pagi ini, peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Zahid memberitahu mahkamah anak guamnya tidak dapat hadir pagi ini kerana perlu menjalani prosedur ‘pain intervention’.

Memetik laporan media tempatan mahkamah diberitahu bahawa Zahid mengalami kecederaan itu akibat terjatuh dan berada dalam kesakitan sekiranya duduk terlalu lama.

“Beliau sudah berada di bawah jagaan pihak hospital sejak Ahad lalu,” katanya sambil menambah Zahid akan menjalani prosedur itu pagi ini di sebuah hospital swasta.

Hakim Collin Lawrence Sequerah meminta pihak pembelaan memanggil doktor berkenaan untuk hadir ke mahkamah hari ini bagi menerangkan kecederaan dan prosedur terbabit sebelum menetapkan satu tarikh lain.

Beliau berkata, sapina akan dikeluarkan kepada doktor berkenaan agar beliau hadir bagi menjelaskan prosedur yang akan dijalankan terhadap Zahid serta tempoh masa yang diperlukan sebelum tertuduh benar-benar pulih.

“Mahkamah tidak boleh membenarkan sebarang penangguhan lagi dan akan memanggil doktor berkenaan menjelaskan keadaan kesihatannya serta prosedur yang akan dijalankan,”kata hakim.

Sebelum ini Mahkamah Tinggi menetapkan penghujahan lisan kes Zahid didengar selama enam hari bermula 5, 6, 9, 11, 13 dan 24 Ogos.

Bagaimanapun ia ditangguh ke hari ini 24 Ogos 2021, setelah pejabat seorang daripada peguamnya terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang turut mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu, memaklumkan penangguhan berkenaan berikutan beberapa staf di pejabatnya disahkan positif Covid-19.

Zahid, 68, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

BERITA BERKAIT
POPULAR