
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden, Datuk Seri Najib Razak tidak nampak berada di Dewan Rakyat hari ini semasa sidang khas sedang berjalan.
Ahli Parlimen (MP) Bagan Datuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan MP Pekan Datuk Seri Najib Razak antara dua pemimpin utama UMNO yang tidak nampak bayang mereka semasa sidang khas Parlimen yang berlangsung hari ini.
Menurut sumber di Dewan Rakyat, Presiden UMNO Zahid dan Najib tidak berada dalam dewan sejak awal pagi berlangsung pembentangan usul pindaan Perkara 10 Perlembagaan yang dibawa kerajaan hari ini bagi memberi punca kuasa untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Namun, Zahid mungkin sedang membuat persiapan untuk mengerjakan umrah memandangkan sudah mendapat pelepasan pasportnya, bagaimanapun tidak pasti pula apa alasan Najib tidak hadir ke dewan hari ini.
“Tidak ada (Zahid, Najib),” kata sumber bentara yang menjaga pintu masuk dan kehadiran MP di Dewan Rakyat.
Terdahulu, minggu lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Zahid untuk mendapatkan pasportnya bagi mengerjakan umrah.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pelepasan pasport itu bagi tujuan untuk proses memohon visa, selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan.
Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dijadual akan mengerjakan umrah bermula 21 hingga 30 April ini.
Raja Rozela berkata, oleh kerana tarikh untuk mengerjakan umrah itu bertindih dengan tarikh perbicaraan yang sudah ditetapkan sebelum ini, maka hari perbicaraan yang dilapangkan sepatutnya digantikan dengan tarikh baharu.
Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid berkata, pembelaan berharap pasport anak guamnya diberikan serta merta kerana ia diperlukan untuk memudahkan urusan proses visa.
Katanya, Zahid akan mengaku janji untuk memulangkan pasport itu pada 5 Mei ini.
Sequerah kemudian menetapkan 13 dan 15 April ini serta 1 Julai bagi tarikh gantian perbicaraan bela diri.
Hari ini, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dengan tujuan untuk memasukkan fasal 3A dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Fasal 3A adalah berhubung hak dan kebebasan seseorang individu untuk berpersatuan, ia dibimbangi oleh beberapa pengkritik bakal memberi implikasi buruk terhadap sistem demokrasi negara selepas ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentang usul pindaan tersebut semasa sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pagi tadi dengan membacakan pindaan tersebut dibuat bertujuan untuk memberi punca kuasa bagi membolehkan RUU Anti Lompat Parti dapat dibentang selepas ini.
“RUU yang akan saya bentangkan bertujuan meminda Perkara 10 dengan maksud memasukkan fasal 3A selepas fasal 3 bagi sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan c fasal 1 yang berhubung dengan keahlian dalam parti politik Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.
“Pindaan ini turut memberi punca kuasa bagi membolehkan satu akta khsusunya berhubung larangan ahli dewan bertukar parti digubal dan diluluskan di Parlimen,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan di Parlimen.
UMNO sebelum ini beria-ria menyokong RUU Anti Lompat Parti, bagaimanapun semasa sidang khas hari ini tidak nampak pula kelibat pemimpin kanan parti itu.