
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa RM5.9 juta yang digunakan untuk membeli dua banglo di Country Heights, Kajang bukanlah dana sumber haram.
Memberi keterangan pembelaannya dalam perbicaraan membabitkan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, Zahid mendakwa dua lot banglo itu dibeli bagi tujuan penubuhan pusat pengajian al-Quran untuk bakal pesara dan pelajar tahfiz yang ingin belajar dan menghafaz Quran.
“Saya nyatakan bahawa saya tidak pernah menggunakan dua lot banglo itu sebagai kediaman atau untuk kegunaan peribadi saya,” katanya hari ini.
Zahid berkata salah sebuah banglo itu kini sudah dilengkapi kemudahan seperti bilik mesyuarat dan surau dan ia digunakan oleh pelajar tahfiz, manakala banglo lain masih dinaik taraf dan diubah suai untuk dijadikan madrasah pelajar tahfiz.
Dia juga memberitahu dana Yayasan Akalbudi (YAB) berjumlah RM65 juta yang didakwa diterimanya dan dipindahkan ke akaun simpanan tetap sebuah firma guaman bukan hasil wang haram.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu 69, sebaliknya, berkata dana RM65 juta melalui cek itu adalah hasil sumbangan daripada individu dan badan korporat bagi tujuan amal jariah, menurut Bernama.
“Saya menegaskan bahawa dana tersebut adalah bukan hasil daripada aktiviti haram yang didefinisikan di bawah Akta AMLA,” katanya.
Katanya, dia juga tidak pernah mengarahkan mana-mana peguam atau pekerja termasuk kerani V Sothilechmy daripada Tetuan Lewis & Co untuk mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun simpanan tetap.
Katanya, Sothilechmy telah mengesahkan di mahkamah bahawa dia (Sothilechmy) mendapat arahan daripada peguam B Muralidharan untuk memasukkan dana-dana tersebut ke dalam akaun simpanan tetap.
“Semasa saya melantik Tetuan Lewis & Co untuk menguruskan dana Yayasan Akalbudi, Muralidharan pernah memberitahu saya bahawa akan menguruskan dana itu dengan membuka akaun simpanan tetap supaya yayasan itu dapat memperoleh kadar faedah.
“Muralidharan juga memberitahu saya bahawa beliau perlu berbuat demikian berdasarkan undang-undang,” katanya.
Mengenai dana YAB berjumlah RM5.9 juta, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, dia tidak pernah memberi arahan kepada Muralidharan untuk membuat pembayaran bagi pembelian dua lot tanah banglo di Country Height, Kajang, menggunakan akaun simpanan tetap.
Zahid berkata dana Yayasan Akalbudi dikendalikan oleh Muralidharan menggunakan budi bicara tunggal peguam itu sepenuhnya.
“Muralidharan sebagai seorang yang mempunyai kawalan kendalian ke atas dana Yayasan Akalbudi mempunyai pengetahuan tentang transaksi keluar masuk wang dalam akaun pelanggan dan Muralidharan mempunyai budi bicara tunggal untuk menentukan berapa banyak jumlah dana yang perlu dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap,” katanya.
Dia juga berkata pengeluaran RM5.9 juta daripada akaun simpanan tetap oleh Muralidharan bagi tujuan pembayaran dua lot tanah untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan juga pelajar tahfiz dan ia bukan wang daripada hasil aktiviti haram.
Selain itu, Zahid berkata dia tidak pernah mengarahkan pengurup wang, Omar Ali Abdullah untuk menukarkan wang tunai berjumlah RM 7,511,250.20 kepada 35 keping cek.
“Seingat saya, apabila Omar Ali dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, beliau sendiri menyatakan bahawa beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk menukarkan wang tunai sumbangan tersebut kepada cek.
“Semasa saya berjumpa dengan Omar Ali untuk berbincang berkenaan mendepositkan wang tunai ke dalam akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co, Omar Ali telah memberitahu saya bahawa beliau akan menggunakan inisiatif beliau sendiri untuk menukarkan wang tunai tersebut kepada beberapa cek,” katanya.
Zahid berkata dia tidak mempunyai apa-apa kaitan berkenaan penukaran wang tunai kepada cek itu.
“Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa sumber wang tunai yang diuruskan oleh Omar Ali merupakan sumbangan dan derma daripada Yayasan Al-Bukhary dan bukan wang hasil daripada aktiviti haram,” katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.