Zahid nafi dana kepada firma orang kanan SPR untuk daftar pengundi

May 25, 2022 · Isu semasa

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa RM360,000 dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang diberikan kepada syarikat bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2015 dan 2016 bukan untuk membantu Barisan Nasional (BN) mendapatkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi.

Zahid, yang ketika itu timbalan perdana menteri, mendakwa wang itu sebaliknya diberikan kepada syarikat ditubuhkan Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, untuk membantu percetakan al-Quran.

Memberi keterangan dalam pembelaannya terhadap 12 pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan lebih RM31 juta dana YAB, Zahid menafikan telah melakukan salah laku terhadap RM360,000 yang diberikan kepada TS Consultancy & Resources.

Zahid mempertikaikan keterangan Pengurus TS Consultancy & Resources Jasni Majid dan pemiliknya Sabri Said kepada mahkamah, di mana mereka berkata dana kepada syarikat itu adalah bagi membantu kerja-kerja pendaftaran pemilih, dengan mendakwa bahawa keterangan kedua-dua mereka adalah “tidak benar sama sekali ”.

“Saya juga menyatakan pada masa itu TS Consultancy & Resources tidak perlu bertindak sebagai syarikat membantu Barisan Nasional (BN) mendaftarkan pengundi.

“Ini kerana Barisan Nasional dibenarkan oleh SPR untuk mendaftarkan pengundi dengan sendiri tanpa memerlukan bantuan sesiapa,” katanya.

Beliau berkata syarikat TS Consultancy tidak pernah diiktiraf oleh SPR sebagai pendaftar pemilih.

Memetik dua keping cek YAB berjumlah RM100,000 pada 20 Ogos 2015 dan RM260,000 pada 25 November 2016, Zahid sebaliknya mendakwa ia adalah untuk mencetak naskhah al-Quran.

“Saya nyatakan bayaran RM360,000 yang dibuat oleh YAB kepada TS Consultancy adalah untuk tujuan mencetak al-Quran. Perkara ini antara saya dan Datuk Latiff Mirasa yang merupakan pengerusi kepada Yayasan Restu yang mencetak al-Quran.

“Saya juga menyatakan perkara ini tidak diketahui langsung oleh TS Consultancy & Resources. Ini kerana Datuk Latiff Mirasa yang meminta saya membuat bayaran cetakan al-Quran untuk dibayar kepada TS Consultancy & Resources,” katanya memetik laporan MalayMail.

Menurut Zahid, Yayasan Restu telah membentuk jawatankuasa untuk mencari dana bagi melaksanakan penerbitan al-Quran dengan percetakan dilakukan oleh pihak lain, sementara al-Quran itu bertujuan untuk diwakafkan kepada masjid, surau, institusi agama dan juga untuk dihantar ke luar negara ke negara-negara di mana orang Islam adalah minoriti.

Katanya jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Latiff dan Wan Ahmad manakala TS Consultancy juga berada dalam jawatankuasa ini.

Katanya beliau telah melanjutkan perkhidmatan Wan Ahmad sebagai pegawai khas kepada timbalan perdana menteri kerana Wan Ahmad memohon dilanjutkan, berikutan pemecatan Muhyiddin daripada Kabinet BN dan UMNO ketika itu.

Ditanya mengenai keterangan Wan Ahmad di mahkamah sebelum ini bahawa dia tidak mengenali Latiff, Zahid mendakwa kedua-duanya berkenalan kerana Wan Ahmad pernah menjadi timbalan pengerusi SPR manakala Latiff sebelum ini adalah timbalan ketua Biro Tatanegara di Jabatan Perdana Menteri.

“Saya pasti kedua-dua mereka bukan sahaja mengenali antara satu sama lain tetapi mereka mempunyai kerjasama dalam tugas antara SPR dan Biro Tatanegara,” katanya ketika mencadangkan bahawa inilah sebabnya mereka berdua berada dalam jawatankuasa percetakan al-Quran yang sama.

Zahid juga tidak bersetuju dengan keterangan Wan Ahmad sebelum ini bahawa TS Consultancy ditubuhkan untuk membantu BN yang memerintah ketika itu dalam mendaftar pemilih kerana SPR tidak membenarkan parti politik mendaftar pemilih.

Mengatakan apa yang Wan Ahmad dinyatakan adalah tidak betul, Zahid turut mendakwa Wan Ahmad telah bersetuju semasa pemeriksaan balas bahawa sifat perniagaan TS Consultancy adalah untuk menjalankan kursus motivasi bagi menggalakkan mereka yang masih belum mendaftar sebagai pengundi untuk mengundi dan tidak untuk mendaftar pengundi baru.

Sambil menyatakan TS Consultancy berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai terlibat dalam perkhidmatan untuk menganjurkan latihan, kursus dan program motivasi, Zahid mendakwa ini menunjukkan rekod awal penubuhan syarikat itu bukan untuk tujuan mendaftar pemilih baharu.

Wan Ahmad sebelum ini memberi keterangan bahawa RM360,000 daripada dua keping cek itu – termasuk cek RM100,000 Yayasan Akalbudi yang dilihatnya ditandatangani Zahid – dibelanjakan semata-mata untuk kos operasi syarikat itu dalam menjalankan kerja pendaftaran pemilih, dan bahawa satu-satunya kerja syarikat ialah mendaftarkan rakyat Malaysia yang layak sebagai pengundi dan mengadakan taklimat mengenai pilihan raya.

Wan Ahmad juga tidak bersetuju bahawa RM360,000 digunakan untuk mencetak al-Quran, dan berkata beliau tidak pernah mendengar tentang Yayasan Restu dan tidak mengenali Latiff, mengesahkan bahawa Yayasan Restu dan TS Consultancy tidak mempunyai kaitan.

Dalam perbicaraan ini, Zahid yang juga bekas menteri dalam negeri dan kini Presiden UMNO – menghadapi 47 pertuduhan, iaitu 12 pertuduhan pecah amanah jenayah berhubung dana YAB, 27 pertuduhan pengubahan wang haram, dan lapan pertuduhan rasuah.

Pada 24 Januari lalu, mahkamah memerintahkan Zahid membela diri terhadap kesemua pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah disambung esok.

Berita berkaitan
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Kerajaan boleh dianggap derhaka jika ingkar adendum, kata Annuar Musa
April 22, 2024· Politik
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Kor Ming mahu UMNO bantu habis-habisan calon DAP di Kuala Kubu Bharu
April 22, 2024· Politik
Popular
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Atasi segera isu pemerdagangan manusia
August 27, 2022
Tak boleh ulas isu bekas KSN terima elaun RM30,000 sebulan daripada 1MDB
June 12, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok