Zahid kesal difitnah dikaitkan dengan tertuduh dera Bella

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas pihak tertentu yang cuba mengaitkan dirinya dengan tertuduh yang sedang dibicarakan dalam kes penderaan remaja perempuan sindrom Down bernama Bella.

Presiden UMNO itu menegaskan tidak pernah melindungi mana-mana individu yang terbabit dalam jenayah seperti yang tular dalam media sosial, ia susulan timbul gambar Zahid bersama pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Abd. Razali baru-baru ini.

“Sebagai insan tentunya saya juga mengharapkan keadilan buat Bella dapat ditegakkan. Terlalu banyak insiden menyayat hati dilaporkan dalam kes berkenaan dan pastinya semua mahukan kebenaran.

“Bagaimanapun, saya kesal apabila diberitahu tiba-tiba ada pihak cuba mengaitkan saya dengan kes terbabit.

“Menuduh saya cuba melindungi tertuduh dengan mengaitkan tertuduh memiliki 10 peguam bela kerana saya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Zahid juga menafikan dakwaan beliau cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

“Jika benar saya mempunyai keupayaan seperti itu bukankah lebih baik saya melindungi kes saya, melindungi kes mahkamah dikenakan terhadap saya oleh kerajaan 22 bulan sejurus memperoleh kuasa.

“Biarlah mahkamah menentukan kebenaran melalui proses perbicaraan yang adil dan saksama. Bagaimana saya boleh melakukannya walhal yang menuduh juga tentu tahu saya tiada sebarang kuasa berbuat demikian.

“Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan seperti dilakukan kerajaan 22 bulan,” katanya.

Zahid juga berharap semua pihak jangan terlalu cepat menuduh dan membuat kesimpulan atas apa yang dibaca dan dilihat.

“Saya harap mereka yang gigih berusaha memfitnah saya sekali lagi demi politik itu, berhentilah. Jangan kita terlalu mudah mempercayai sesuatu tuduhan dan dakyah yang dibawa.

“Kaji dan selidiki dahulu setiap berita dan cerita yang disebarkan. Jika malas mahu mencari kebenaran, jangan pula rajin menyebarkan kepalsuan. Bulan Ramadan yang mulia ini tidak sepatutnya dicemari dengan nilai-nilai kebatilan seperti itu,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR