Zahid kata RM6j dari pembekal cip pasport bukan rasuah tapi dana politik

August 22, 2022 · Isu semasa

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan bahawa dua keping cek bernilai RM6 juta yang diterimanya pada April 2017 daripada pegawai pembekal cip pasport Datasonic Technologies Sdn Bhd adalah rasuah.

Sebaliknya Presiden UMNO itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa wang berkenaan adalah derma politik yang dia bebas untuk menggunakannya.

Memberi keterangan membela diri dalam perbicaraan kes rasuahnya, bekas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa RM6 juta boleh masuk terus ke akaun bank peribadinya kerana ia adalah derma politik yang ditujukan kepadanya sebagai ahli politik dan tidak khusus untuk parti politiknya UMNO.

Zahid juga menegaskan, bagaimanapun, wang RM6 juta melalui dua keping cek itu sebaliknya disalurkan ke akaun pelanggan firma guaman Lewis & Co, yang menurutnya pemegang amanah untuk organisasi amalnya Yayasan Akalbudi (YAB).

“Walaupun ini derma politik, saya patut masukkan ke dalam akaun peribadi saya, tetapi sebaliknya saya masukkan ke dalam akaun anak guam iaitu akaun amanah,” katanya memetik laporan MalayMail.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob, Zahid turut menegaskan bahawa derma politik boleh digunakan untuk kebajikan.

Abdul Malik: Adakah perbezaan antara derma politik dengan amal jariah (sedekah)?

Zahid: Derma politik biasanya boleh digunakan untuk kebajikan. Saya tidak pernah menggunakan derma politik atau amal jariah untuk kegunaan peribadi saya.

Abdul Malik: Apabila digunakan perkataan ‘derma politik’ bermakna ia adalah derma untuk aktiviti politik atau parti politik.

Zahid: Tidak. Kerana derma politik diberikan kepada ahli politik untuk aktiviti politik di kawasan Parlimennya atau bahagian partinya atau aktiviti politik di seluruh negara atau tempat yang difikirkannya sesuai untuk perbelanjaan politik.

Abdul Malik kemudian berkata tiada satu pun daripada RM6 juta yang dikatakan sebagai “derma politik” diberikan kepada UMNO atau Barisan Nasional, tetapi Zahid terus menegaskan bahawa wang itu tidak semestinya perlu pergi kepada parti politik itu.

“Tidak semestinya diberikan kepada parti politik, kerana mana-mana ahli politik yang menerima atas nama UMNO atau parti lain, cek itu perlu masuk ke dalam parti itu.

“Tetapi jika kepada mana-mana ahli politik, ahli politik itu mempunyai budi bicara untuk memasukkannya ke dalam akaun peribadinya atau mana-mana akaun yang lebih sesuai. Dalam hal ini, saya tidak pernah ‘bank in’ derma politik ini ke dalam akaun peribadi saya,” jawab Zahid.

Zahid, yang juga merupakan Timbalan Presiden UMNO pada 2017, menyatakan bahawa cek berjumlah RM6 juta itu hanya akan dimaksudkan kepada parti politik sekiranya mereka menamakan parti politik itu sebagai penerima wang berkenaan.

Abdul Malik: Dalam hal ini, derma itu untuk ahli politik iaitu anda.

Zahid: Mana-mana ahli politik yang menerima sumbangan sebegitu, ia tidak masuk parti politik, kerana ahli politik ada kawasan atau jawatan negara. Dalam hal ini, saya menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti kerana wang itu, walaupun untuk tujuan politik, tetapi saya tidak menggunakan untuk tujuan politik atau tujuan peribadi, sebaliknya memberikannya untuk tujuan kebajikan, wakaf dan keagamaan.

Zahid tidak bersetuju dengan cadangan Abdul Malik bahawa pertubuhan amal YAB tidak dibenarkan menyokong mana-mana parti politik melalui dana, juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa YAB tidak boleh menerima dana yang merupakan sumbangan politik.

Abdul Malik mencadangkan memandangkan tiada satu pun daripada RM6 juta itu pergi kepada UMNO atau BN tetapi dimasukkan ke dalam akaun pelanggan Lewis & Co, dana ini sebenarnya rasuah yang diberikan kepada Zahid untuk menyokong pemberian kontrak kepada syarikat yang sebenarnya tidak layak.

Tetapi Zahid tidak bersetuju dengan cadangan ini.

Pada 24 Januari lalu, Zahid diperintah membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit wang milik YAB.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menghadapi 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB. Zahid bagaimanapun, mengaku tidak bersalah.

Perbicaraan kes itu bermula sejak 18 November 2019 dengan pendakwaan memanggil 99 saksi, sementara penghujahan kes bermula 6 September 2021 dan berakhir setelah 24 hari.

Bagi pertuduhan CBT, Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bekas Timbalan Perdana Menteri 33 bulan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, dia didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu dituduh dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Perbicaraan bersambung petang ini.

Berita berkaitan
Kit Siang mahu PM isytihar tiada PRU sebelum bentang Bajet
11 jam lalu· Politik
Najib ke mahkamah sambung kes RM2.28b 1MDB selepas keluar hospital
17 jam lalu· Isu semasa
Belum buat keputusan pilih kerusi bertanding, baik Anwar pilih Bagan Datuk
September 25, 2022· Politik
PKR hormati keputusan mahkamah kes anak murid, kata Anwar
September 24, 2022· Politik
Popular
Pendakwaan kemuka rayuan pembebasan Zahid: Laporan
September 26, 2022
Mangsa banjir di Johor naik 222 orang, banyak kampung Parlimen Mat Maslan terjejas
September 26, 2022
Pengurus bank sahkan lebih RM90 juta masuk akaun peribadi Najib
September 26, 2022
Dakwaan murid hampir diculik: Polis Perak tubuh pasukan khas siasatan
September 26, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Mangsa banjir di Johor naik 222 orang, banyak kampung Parlimen Mat Maslan terjejas
9 jam lalu · Isu semasa
RM2.08 bilion masuk akaun Najib dalam dua bulan, kata saksi
9 jam lalu · Isu semasa
Pendakwaan kemuka rayuan pembebasan Zahid: Laporan
10 jam lalu · Isu semasa
Bursa Malaysia ditutup rendah
10 jam lalu · Isu semasa
PAC siasat kelewatan projek 3 kapal OPV, kontrak diberi sejak zaman BN
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Sambutan ulang tahun ke-6 Bersatu meriah, agih bantuan makanan
8 jam lalu
[VIDEO] Penganalisis ramal OPR naik lagi November depan
12 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok