Zahid kantoi selepas Ahmad Maslan sahkan MP UMNO bebas sokong PN

Kenyataan terbaharu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Ahli Parlimen (MP) UMNO bebas untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) semasa pengundian di Parlimen memecah tembelang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu semalam membaca perutusan mengumumkan keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia bagaimanapun tidak menyatakan MP UMNO boleh membuat keputusan mengikut budi bicara masing-masing semasa pengundian di Parlimen nanti.

Pagi tadi, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kenyataan Zahid tersebut menyeleweng daripada topik perbincangan yang berjalan semasa membaca perutusan sidang medianya.

“Sebaik saja Presiden UMNO selesai membuat kenyataan media lewat tengah malam tadi, saya dihubungi beberapa ahli Majlis Tertinggi yang menyatakan kenyataan media Presiden tidak menggambarkan keputusan Mesyuarat MT,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu mendedahkan hasil daripada maklumat yang diberikan, siaran langsung kenyataan media yang dibaca oleh Zahid itu sudah disediakan lebih awal sebelum berlangsung mesyuarat MT jam 8.30 malam semalam.

“Tinjauan lanjut menyatakan apa yang dibaca kepada media adalah kenyataan yang telah disiapkan lebih awal, sebelum MT bermesyuarat. Jika benar, ternyata sekali lagi MT di permainkan dan ini amat serius,” katanya lagi.

Annuar merujuk kepada perbincangan semasa mesyuarat berhubung pendirian MP UMNO yang bebas menentukan pilihan mereka semasa pengundian pada sidang Parlimen nanti.

Susulan kritikan tersebut, lewat petang tadi Zahid dalam satu kenyataan menafikan dakwaan terdapat keputusan lain semasa Mesyuarat MT UMNO semalam, mempertahankan dirinya tidak membuat keputusan sendiri untuk parti itu.

“MT UMNO telah memutuskan apa yang difikirkan perlu dilakukan demi kepentingan rakyat dan negara malam tadi.

“Segalanya diputuskan secara berperlembagaan, musyawarah dan bijaksana. Berpaksikan kemaslahatan rakyat dan negara. Maka, tidak benarlah propaganda dan persepsi yang kerap direka konon presiden UMNO buat keputusan sendiri untuk parti,” katanya katanya.

Zahid bagaimanapun tidak pula memperbetulkan dakwaan dibuat oleh Annuar berhubung kebebasan diberikan oleh MT UMNO itu.

Selang beberapa jam kemudiaan, Ahmad Maslan dalam siaran medianya menjelaskan beberapa perkara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat itu yang tidak diumumkan Zahid semasa sidang medianya semalam.

“Disamping itu, Majlis Tertinggi UMNO juga telah mengambil keputusan bahawa ketika sidang Parlimen nanti, Ahli-Ahli Parlimen UMNO boleh menggunakan budi bicara mereka apabila berlaku sebarang pengundian,” kata kenyataan Ahmad Maslan itu.

Kenyataan tersebut sekaligus membuktikan Zahid terkantoi selepas tular satu klip video mendedahkan kenyataannya berhubung pendirian MT UMNO yang memberi kebebasan kepada MP UMNO untuk mengundi nanti di Parlimen.

BERITA BERKAIT
POPULAR