Zahid jawab 47 tuduhan esok

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menjawab 47 pertuduhan terhadapnya membabitkan pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB), esok.

Peguam Zahid Hamidi Mohd Noh berkata anak guamnya akan menjadi saksi pertama menyatakan pendiriannya apabila perbicaraan bela diri bermula jam 9 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hakim sebelum ini menetapkan 39 hari untuk mendengar kes pembelaan iaitu 13 dan 15 April; 26 hingga 28 April; 23 hingga 26 Mei; 27 hingga 30 Jun; 4 hingga 7 Julai; 22, 23, 29 dan 30 Ogos; 19 hingga 22, 26 hingga 29 September, 17 hingga 20, 31 Oktober dan 1 hingga 3, 7 hingga 10 November ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi dengan pihak pendakwaan diberi peluang untuk menyoal tertuduh ketika pemeriksaan balas.

Pada 24 Januari lalu, Sequerah memerintahkan Zahid membela diri atas semua 47 pertuduhan rasuah membabitkan nilai jutaan ringgit daripada YAB.

Hakim memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Presiden UMNO selepas mengambil kira keterangan yang dikemukakan pada perbicaraan.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Ahmad Zahid mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya berkaitan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 19 Mac tahun lalu dan pada 6 Disember tahun yang sama, mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan.

Berikut adalah kronologi kes berkenaan.

19 Oktober 2018 – Zahid didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

14 Disember 2018 – Zahid didakwa buat kali kedua di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan iaitu pecah amanah wang berjumlah RM10 juta milik Yayasan Akalbudi.

20 Februari 2019 – Zahid didakwa kali ketiga di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik Yayasan Akalbudi.

28 Februari 2019 – Mahkamah Sesyen memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

22 Mac 2019 – Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 8 Julai 2019 untuk mula bicara.

3 Mei 2019 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zahid supaya pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah, dikembalikan untuk mengerjakan umrah.

14 Mei 2019 – Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak rayuan Zahid mendapatkan pasport untuk umrah.

23 Mei 2019 – Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak rayuan Zahid mendapatkan pasport untuk umrah.

18 November 2019 – Perbicaraan di hadapan Hakim Collin bermula.

2 Mac 2020 – Pihak pendakwaan memohon memulakan prosiding menghina mahkamah susulan penangguhan perbicaraan selepas peguam mewakili Zahid memaklumkan anak guamnya perlu menghadiri mesyuarat berkaitan pembentukan Kabinet bersama Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan tiada mesyuarat atau perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan pada hari berkenaan.

3 Mac 2020 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Zahid, selepas Presiden UMNO itu mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

10 Ogos 2020 – Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap 12 pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan pindaan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

9 Mac 2021 – Zahid mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pindaan bagi kes pengubahan wang haram.

19 Mac 2021 – Pendakwaan menutup kes selepas 53 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 99 orang saksi.

6 September 2021 – Hujahan kes di akhir kes pendakwaan bermula.

8 September 2021 – Hakim Mahkamah Tinggi memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes berkenaan. Amaran dikeluarkan susulan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak perempuan Zahid, Datuk Nurulhidayah, membuat hantaran mengenai kes bapanya di Instagram.

7 Oktober 2021 – Zahid membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

11 Oktober 2021 – Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Zahid mengembalikan pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman.

6 Disember 2021 – Hakim Collin menetapkan 24 Januari 2022 untuk keputusan kes di akhir kes pendakwaan.

24 Januari 2022 – Mahkamah Tinggi memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

BERITA BERKAIT
POPULAR