Zahid diperintah bela diri

January 24, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menghadapi 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran sementara pasukan pembelaan Zahid diketuai peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Perbicaraan kes itu bermula sejak 18 November 2019 dengan pendakwaan memanggil 99 saksi, sementara penghujahan kes bermula 6 September 2021 dan berakhir setelah 24 hari.

Zahid, 68, mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan CBT, Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bekas Timbalan Perdana Menteri 33 bulan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, dia didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu dituduh dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Keputusan penuh menyusul.

Terdahulu, Zahid tiba di kompleks mahkamah berkenaan kira-kira jam 9.05 pagi dengan disambut penyokongnya dan diiringi bacaan doa.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengaminkan doa dibacakan penyokongnya di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, pagi ini, 24 Januari 2022. – Gambar Agenda Daily

Berita berkaitan
Anwar bantah permohonan ujian poligraf dibuat Yusoff Rawther: Laporan
March 30, 2024· Politik
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Bahasa Melayu bahasa rakyat Malaysia
April 9, 2022
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok