Zahid dakwa YAB dahulukan dana RM1.3 juta bantu persatuan bola PDRM

May 24, 2022 · Isu semasa

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa, beliau mendahulukan dana Yayasan Akalbudi (YAB) sebanyak RM1.3 juta kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerana pemain dan kakitangan persatuan itu tidak mendapat gaji dan elaun selama empat bulan.

Zahid, 69, berkata dia sebelum ini tidak pernah memberi apa-apa sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak PDRM, bagaimanapun sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, PDRM berada di bawah kendaliannya, lapor Bernama.

“Saya telah dimaklumkan oleh menantu saya Datuk Zul Hisham Zainal bahawa, persatuan bola sepak itu berada dalam keadaan yang sangat memerlukan bantuan kewangan, memandangkan empat bulan gaji mereka tidak dibayar menyebabkan pemain dan staf tidak berkemampuan untuk membayar perbelanjaan peribadi, seperti membayar sewa rumah, kereta, nafkah dan keperluan lain,” katanya.

Dia berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi ketika membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu berkata wang pendahuluan tersebut adalah seiring dengan objektif penubuhan YAB, yang mana ia ditubuhkan untuk membantu dari segi kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

Beliau menegaskan pertuduhan kesembilan yang dikenakan ke atasnya iaitu melakukan pecah amanah berhubung sumbangan RM1.3 juta kepada persatuan itu, bukan satu kesalahan pecah amanah kerana pemegang amanah YAB, Muhammad Nabil Salleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi, tidak pernah membantah wang pendahuluan yang diberikan.

Menurut Zahid, berdasarkan keterangan Zul Hisham dan Asisten Superintendan Mohd Nizam Mohd Noor, persatuan itu mempunyai tanggungan seramai 30 pemain tempatan, termasuk tiga pemain import dan juga 15 orang dalam kumpulan pengurusan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pemain-pemain persatuan itu adalah pemain sepenuh masa, yang mana mereka bergantung sepenuhnya kepada gaji yang diberikan sebagai pemain bola sepak.

“Gaji kesemua pemain dan staf secara purata dalam anggaran RM500,000 sehingga RM600,000 sebulan dan semasa persatuan itu mempunyai masalah kewangan, bayaran gaji yang tertunggak adalah dalam anggaran RM1.3 juta selama empat bulan,” katanya.

Tambah Zahid, Majlis Sukan Negara telah membayar semula pendahuluan yang beliau berikan sebanyak RM1 juta kepada Tetuan Lewis & Co pada 14 Julai 2017 dengan menggunakan cek.

Selain itu, Zahid menafikan pertuduhan ke-19 yang mana beliau didakwa melakukan pecah amanah dana YAB berjumlah RM10 juta, dengan memberikan pinjaman wang tersebut kepada Armada Holdings Sdn Bhd.

Katanya, bayaran kepada Armada Holdings berjumlah RM10 juta adalah satu pelaburan kepada syarikat tersebut, yang terlibat dengan projek pembekal arang batu Indonesia untuk kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

“Setakat pengetahuan saya, sepertimana yang dipersetujui, RM10 juta itu diberikan kepada Armada Holdings sebagai satu pelaburan yang dibuat oleh Yayasan Akalbudi, dan bukan pinjaman.

“Pulangan pelaburan yang diterima itu juga, telah berjaya mendatangkan keuntungan kepada Yayasan Akalbudi yang mana keuntungan tersebut boleh digunakan untuk tujuan amal jariah, selari dengan objektif yayasan tersebut,” katanya dan menambah pelaburan RM10 juta kepada Armada Holdings telah dibayar balik bersama-sama dengan faedah sebanyak RM69,722.65.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menafikan bahawa pemberian dana YAB sebanyak RM360,000 kepada TS Consultancy & Resources, adalah untuk membantu menjalankan kerja-kerja pendaftaran pengundi, sebaliknya wang tersebut adalah untuk pembayaran percetakan Al-Quran.

“Urusan ini adalah antara saya dengan Datuk Latiff Mirasa iaitu Pengerusi kepada Yayasan Restu yang mencetak Al-Quran tersebut. Saya juga menyatakan bahawa urusan ini sama sekali tidak diketahui oleh TS Consultancy & Resources, kerana Datuk Latiff yang meminta saya untuk membuat pembayaran percetakan Al-Quran tersebut yang dibayar kepada syarikat itu,” katanya.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Berita berkaitan
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
DAP semakin berani disebabkan UMNO hanya ‘penumpang’ dalam kerajaan
February 13, 2024· Politik
Popular
Bekas Setpol Salahuddin Ayub dilantik Pengerusi SSM baharu
March 13, 2023
Jangan cabar umat Islam: Ridhuan Tee beri amaran isu ziarah gereja
March 16, 2023
Awesome TV digantung penyiaran bermula 2 November
October 19, 2023
SPRM masih cari jutaan ringgit kes pembantu menteri DAP: Laporan
April 18, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Sekarang siapa jadi kerajaan, Muhyiddin kritik isu kejatuhan ringgit
February 24, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok