Zahid beritahu mahkamah boleh bawa isteri dalam lawatan rasmi

August 29, 2022 · Isu semasa

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia boleh membawa bersama isterinya untuk perjalanan rasmi ke luar negara ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Zahid berkata demikian ketika memberi keterangan membela diri terhadap 47 pertuduhan terhadapnya.

Ditanya peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal sama ada perjalanannya ke luar negara – di mana pelbagai transaksi kad kredit direkodkan dari akhir 2013 hingga Januari 2016 – adalah perjalanan rasmi atau cuti peribadi, Zahid mengesahkan ianya adalah lawatan rasmi.

Zahid menjawab: “Yang Arif, sebagai orang nombor dua dalam kerajaan ketika itu, banyak tugas yang diberikan kepada saya sebagai Menteri Dalam Negeri dan juga TPM, lawatan ke luar negara adalah tugas rasmi yang dijalankan oleh saya.”

“Dan seorang TPM berhak membawa bersama isteri dan pegawai yang layak untuk turut bersama dalam lawatan ke luar negara atas tugas rasmi tersebut. Oleh itu peraturan Perbendaharaan itu diikuti sepenuhnya oleh saya dalam lawatan rasmi ke luar negara,” tambah memetik laporan Malay Mail.

Zahid dilantik sebagai TPM pada akhir Julai 2015 dan terus memegang jawatan itu sehingga Mei 2018. Dia juga pernah menjadi Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga Mei 2018.

Bulan lalu, Zahid mengesahkan di mahkamah bahawa penyata kad kredit peribadinya dari Disember 2013 hingga Januari 2016 telah merekodkan perbelanjaan yang kesemuanya adalah untuk “perbelanjaan peribadi”, dan juga telah menegaskan bahawa semua perbelanjaan perjalanan ke luar negara yang direkodkan dalam penyata itu adalah untuk perbelanjaan rasmi lawatan ke luar negara.

Berdasarkan butiran dalam penyata kad kredit yang sebelum ini disahkan Zahid di mahkamah, perbelanjaan direkodkan di luar negara hampir setiap bulan, seperti di London dan Manchester pada Disember 2013; Australia pada Februari, Mac, April, Mei 2014; Hong Kong (April 2014); Vietnam (Mei 2014); Dubai (Julai 2014); Ukraine dan United Kingdom (Ogos 2014); Amerika Syarikat (AS )(September 2014); London dan Taipei (Oktober 2014); Milan di Itali dan Perancis (November 2014); Jakarta, Abu Dhabi dan Dubai (Disember 2014).

Dia juga sebelum ini mengesahkan penyata kad kredit untuk perbelanjaan yang direkodkan di Dubai (Januari 2015); Abu Dhabi (April 2015); Korea dan New York (Mei 2015); New York (Jun dan Julai 2015); Jakarta (September 2015); AS (Oktober 2015); London (November 2015); Rom dan Dubai (Disember 2015); dan Korea (Januari 2016).

Bagi lawatan rasmi ke luar negara dan acara rasmi yang dihadirinya sebagai menteri, Zahid sebelum ini berkata pegawai yang mungkin mengiringinya termasuk setiausaha sulit utamanya, setiausaha sulitnya, setiausaha politiknya, pegawai khas dan pegawai keselamatan daripada polis, sambil mengesahkan bahawa dia juga akan diiringi oleh pegawai dalam menjalankan tugas di seluruh negara.

Sebelum ini, Naib Presiden Kanan AmBank Yeoh Eng Leong selaku saksi pendakwaan ke-10 mengesahkan di mahkamah penyata kad kredit dari Disember 2013 hingga Januari 2016 untuk dua kad kredit utama Zahid dan dua kad kredit tambahan untuk isteri bekas TPM itu, dengan jumlah perbelanjaan RM1,479,085.44 atau hampir RM1.48 juta dalam tempoh itu.

Penyata kad kredit AmBank telah menunjukkan bahawa kad kredit itu digunakan secara tempatan dan global, termasuk Indonesia, Vietnam, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Australia, AS, UK, Itali, Ukraine dan Dubai di UAE.

Penyata kad kredit AmBank telah merekodkan perbelanjaan dalam pembelian jenama fesyen mewah, seperti Brioni di New York; Hermes di Milan dan Rom di Itali; Burberry di Hong Kong dan New York; Louis Vuitton di Australia dan Jakarta; Giorgio Armani di Australia dan Rom; Tod di Jakarta; dan Ermenegildo Zegna di London.

Sebelum ini, Naib Presiden Maybank Anoop Singh Gulzara Singh selaku saksi pendakwaan kesembilan juga telah mengesahkan penyata kad kredit dalam tempoh 2014 hingga 2015 bagi tiga kad kredit yang dikeluarkan kepada Zahid, menunjukkan penggunaannya termasuk RM5,900 di cawangan KLCC Louis Vuitton pada Jun 2014; RM7,604.90 di Ukraine pada Ogos 2014; serta RM30,635.80 dan RM1,810.66 di Seoul, Korea Selatan pada 2015.

Apabila bayaran yang diterima melalui cek daripada Yayasan Akalbudi untuk bil kad kredit di kedua-dua bank itu dijumlahkan, ia akan menjadi RM1,362,037.81 atau lebih sedikit daripada RM1.3 juta.

Dalam kes ini, Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 daripadanya kerana pecah amanah berhubung lebih RM31 juta dana Yayasan Akalbudi (YAB), 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan lapan pertuduhan rasuah lebih RM21.25 juta.

Zahid didakwa dengan 12 pertuduhan pecah amanah, iaitu menggunakan dana YAB untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi lapan tuduhan rasuah pula, dia didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah disambung petang ini.

Berita berkaitan
Dikritik tolak usul skandal LCS, Speaker jawab kepada Syed Saddiq sebab ditolak
1 jam lalu· Politik
Zahid kata tak perlu, Pemuda UMNO tetap pertahan pendirian mahu DAP minta maaf
1 jam lalu· Politik
Anak saudara Sivarasa bebas tuduhan rasuah
6 jam lalu· Isu semasa
PAU bukan lagi bincang hal orang Melayu, tapi pujuk ahli sokong DAP
13 jam lalu· Politik
Popular
Tiada lagi subsidi ayam dan telur pada 1 Julai: Mat Sabu
June 8, 2023
Speaker tolak usul bahas skandal LCS, tapi kenapa kerap dibincang semasa PRU?
June 8, 2023
Dewan Rakyat riuh bila sup tulang babi dicadang jadi makanan kebangsaan
June 7, 2023
Singapura tak guna OPR, Dr M beritahu Anwar
June 7, 2023
Lagi Isu semasa terkini
PAC panggil 4 kementerian, 1 GLC minggu depan
28 minit lalu · Isu semasa
Hans Isaac kini Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia
4 jam lalu · Isu semasa
Kedah tawar pinjaman pendidikan buat pelajar yang layak ke IPTA, IPTS
5 jam lalu · Isu semasa
Speaker tolak usul bahas skandal LCS, tapi kenapa kerap dibincang semasa PRU?
8 jam lalu · Isu semasa
Ringgit dibuka lemah berbanding dolar AS
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Pemuda menangis teruk Najib dapat anugerah
4 jam lalu
[VIDEO] Gelombang sudah ada, PN tetap usaha menang PRN enam negeri
22 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok