Zahid atur pengubahan wang haram RM7.5 juta, kata pendakwaan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatur skim pengubahan wang haram berjumlah RM7.5 juta menggunakan perkhidmatan pengurup wang untuk mengubah wang menjadi cek dan akhirnya dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Harris Ong Mohd Jeffrey Ong berhujah bahawa pengurup wang Omar Ali Abdullah sebagai ejen, mendapat arahan daripada Zahid untuk menukarkan RM7,511,250.20 menjadi 35 cek, dan kemudian cek itu diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Zahid.

Harris Ong berkata dana itu kemudian dimasukkan ke dalam pelbagai akaun simpanan tetap.

“Omar Ali atas arahan tertuduh telah menerima wang tunai dari individu yang tidak dikenali. Dia (Omar Ali) menggunakan isterinya, syarikat Kamarunisah Ahmad Shah (Ekares Sdn Bhd) untuk mengeluarkan 35 keping cek kepada Lewis & Co.

“Dia memasukkan wang tunai ke cek Ekares dan meminta isterinya untuk membuat pengesahan mengenai pembayaran jika diminta oleh bank. Dia kemudian mengisi jumlah dan penerima pada setiap cek dan menyampaikan semua cek kepada tertuduh,” katanya sebagai menjawab hujah pembelaan mengenai 27 tuduhan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Harris Ong berkata Kamarunisah tidak tahu mengenai kegunaan cek Ekares, jumlah yang tertera di setiap keping cek, dan siapa penerima.

Merujuk kepada isu tunai RM500,000 (sebahagian daripada RM7,511,250.20) yang diterima Omar Ali, TPR itu berkata ia adalah daripada Yayasan Al-Bukhari (YALB).

“Wang tunai itu dihantar oleh lelaki yang tidak dikenali kepada Omar Ali menunjukkan bahawa urusniaga itu mencurigakan dan meragukan.

“Sekiranya benar wang itu berasal dari penderma untuk tujuan amal, mengapa semua wang tunai itu harus ditukar menjadi cek dan berakhir di akaun pelanggan Lewis & Co dan bukannya akaun Yayasan Akalbudi?

“Tanpa dokumentasi yang tepat, kami mengatakan bahawa semua wang tunai yang diterima Omar Ali berasal dari sumber haram dan bukan YALB. Omar Ali tidak tahu siapa lelaki itu dan tidak ada petunjuk bahawa lelaki itu adalah wakil YALB, ” katanya.

Bagi pertuduhan ke-27, Zahid dituduh mengarahkan pengurup wang Omar Ali Abdullah menukar wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 menjadi 35 cek yang dibuat kepada Lewis & Co sebagai simpanan tetap di Maybank adalah satu bentuk pengubahan wang haram yang berasal dari sumber tidak sah.

Sementara itu Harris Ong berkata berdasarkan pertuduhan satu hingga 25, Lewis & Co menerima sejumlah 92 cek, berjumlah RM76.9 juta, dari pelbagai individu dan entiti yang tidak mempunyai kaitan perniagaan dengan firma itu.

Beliau berkata rakan kongsi syarikat itu B Muralidharan dalam keterangannya memberitahu bahawa dia telah menerima cek dari Zahid di rumah bekas timbalan perdana menteri itu atau cek berkenaan diserahkan kepadanya di syarikat tersebut.

“Cara cek disampaikan oleh tertuduh dan arahan yang diberikan kepada Muralidharan jelas menunjukkan bahawa Ahmad Zahid terlibat secara langsung dalam memberi arahan kepada Muralidharan untuk menyimpan semua cek yang diterima untuk dimasukkan ke dalam 25 simpanan tetap, sebagaimana tuduhan satu hingga 25,” katanya.

Presiden UMNO itu berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah jenayah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

Pendakwaan akan menyambung hujahnya esok.

BERITA BERKAIT
POPULAR