Zahid ambil masa tak sampai 24 jam sambung kontrak UKSB: Saksi

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak telus dan tidak mengikut tatacara ketika melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi projek Visa Luar Negara (VLN).

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Suriani Ahmad berkata Zahid, yang juga ketika itu menjadi Menteri Dalam Negeri, meluluskan pelanjutan kontrak tersebut dalam tempoh yang singkat tanpa membuat penilaian prestasi terhadap UKSB.

Beliau berkata penilaian itu penting kerana syarikat terbabit akan membawa imej negara dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan semua proses dilaksana dengan betul.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada permohonan itu tetap diluluskan walaupun tiada penilaian dibuat, Suriani menjawab: “Ya.”

Memetik laporan Bernama, saksi pendakwaan keempat itu berkata demikian pada hari ketujuh perbicaraan kes Zahid yang berdepan 40 pertuduhan rasuah membabitkan sistem VLN.

Wan Shaharuddin: Dalam permohonan ini, adalah UKSB mengikut tatacara?

Suriani: Kalau prosedur kerja, ia mengikut tatacara. Bagaimanapun, dari segi kelulusan ia tidak mengikut tatacara.

Wan Shaharuddin: Walaupun Datuk tidak berpeluang menilaikan prestasi UKSB, kenapa teruskan juga untuk lanjutkan kontrak itu?

Suriani: Kerana arahan daripada Menteri adalah untuk menyambung kontrak. Sebagai penjawat awam, saya akur dengan arahan kerana ketika itu, Ahmad Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri.

Suriani juga berkata Zahid mengambil tempoh kurang 24 jam untuk meluluskan beberapa permohonan lanjutan kontrak UKSB dengan kerajaan.

Beliau juga berkata surat UKSB bertarikh 17 Oktober 2016 yang memohon kelulusan bagi melanjutkan tempoh kontrak Sistem VLN dan eVisa selama enam tahun telah diluluskan oleh Zahid dan diminitkan pada 18 Oktober 2016.

“Selain itu, surat UKSB bertarikh 15 Mei 2017 kepada Ahmad Zahid untuk permohonan pelanjutan kontrak One-Stop Centre (OSC) turut diminitkan Ahmad Zahid ‘laksana lanjutan kontrak’pada 16 Mei 2017,” katanya.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Wan Shaharuddin bahawa tiada keperluan untuk menyegerakan permohonon lanjutan kontrak tersebut.

Katanya permohonan UKSB itu adalah terlalu awal kerana kontrak yang ada mempunyai tempoh tamat yang masih jauh.

Beliau berkata mengikut fasal 2.2.1 Perjanjian Untuk Membekalkan Sistem Bersepadu VLN, syarikat boleh memohon pelanjutan tempoh kontrak tidak kurang daripada enam bulan sebelum tarikh kontrak tamat.

“Tetapi bagi permohonan ini, pihak UKSB telah memohon pelanjutan kontrak terlalu awal iaitu pada bulan Oktober 2016 iaitu sekitar tiga tahun lebih awal daripada tarikh kontrak akan tamat.

“Oleh itu, pihak KDN tidak mempunyai masa yang mencukupi bagi menilai prestasi UKSB untuk membuat keputusan sama ada kontrak patut dilanjutkan atau tidak,” katanya.

Ketika disoal Datuk Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Zahid, Suriani bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa sistem VLN (kelolaan UKSB) tidak pernah menerima sebarang aduan sehinggalah pentadbiran negara diambil alih oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Zahid telah menukar keputusan untuk memendekkan tempoh pelanjutan kontrak tersebut iaitu dari enam kepada tiga tahun.

Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Presiden UMNO itu didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Presiden UMNO itu didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Country Heights antara Jun 2015 dan Oktober 2017 serta dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 22 Oktober depan.

BERITA BERKAIT
POPULAR