
Akaun Twitter Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pembentangan Bajet 2023 kali ini dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada ketika spekulasi pembubaran Parlimen pada masa terdekat semakin kuat.
Walaupun pada awalnya terdapat khabar angin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin akan membentang belanjawan kali ini, namun nampaknya Zafrul yang juga mengambil tanggungjawab membuat pembentangan pada hari ini.
Bagaimanapun, akaun Twitter rasmi Ismail Sabri yang dikendalikan oleh pentadbirnya pula aktif berkongsi ciapan setiap ucapan Tengku Zafrul semasa membaca ucapan teks pembentangan Bajet 2023.
Semasa pembentangan hari ini, Zafrul mengumumkan sejumlah RM372.3 bilion akan diperuntukkan bagi Bajet 2023 berbanding peruntukan RM332.1 bilion tahun lepas dalam bajet sebelumnya.
Bajet kali ini dengan tema “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama”.
Ujar Zafrul, kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal yang mengembang yang mana pendekatan ini penting bagi menyediakan bantuan sewajarnya kepada rakyat dan menyokong perniagaan.
Dalam Bajet 2023, sebanyak RM94.3 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, yang tertinggi setakat ini, berbanding peruntukan untuk 2022 sebanyak RM71.2 bilion.
Di bawah perbelanjaan ini, peruntukan yang disalurkan kepada pertumbuhan ekonomi meningkat dua peratus, mengambil hampir satu perlapan daripada jumlah perbelanjaan pembangunan.
Unjuran untuk perbelanjaan mengurus 2023, sebaliknya, dijangka berkurangan kepada RM272.3 bilion daripada RM284.7 bilion tahun ini, kurang sebanyak kira-kira RM12 bilion.
Namun, kerajaan Ismail Sabri telah menggandakan perbelanjaan untuk bantuan sosial dan subsidi daripada hanya 5.2 peratus ketika Bajet 2022 kepada 11.3 peratus di bawah perbelanjaan mengurus tahun depan.
Langkah itu telah dijangkakan oleh pakar ekonomi memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah semakin hampir.