Yan di Kedah diwartakan sebagai Pelabuhan Persekutuan

Jambatan ke Pulau Bunting di daerah Yan, Kedah sudah bertahun-tahun dibina pihak swasta untuk membangunkan kawasan berkenaan. - Gambar Facebook

Kementerian Pengangkutan telah mewartakan Yan di Kedah sebagai sebuah lagi Pelabuhan Persekutuan pada 10 Mei lalu, sekali gus akan merancakkan pembangunan di kawasan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perisytiharan itu dibuat mengikut Seksyen 5 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Katanya, dalam perisytiharan itu had keluasan perairan ditetapkan pada 600 kilometer persegi dengan mengambil kira jarak sejauh kira-kira 20 batu nautika dari pantai Yan.

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang bertanggungjawab dalam pembangunan wilayah utara bercadang melaksanakan aktiviti perkepalan dan pembangunan di pesisir Pulau Bunting di perairan Yan.

“Pembangunan Yan sebagai sebuah pelabuhan dijangka akan meningkatkan aktiviti perkapalan di perairan tersebut dan mewujudkan peluang pekerjaan serta membangunkan kawasan sekitar daerah Yan.

“Cadangan pembangunan ini turut dapat menyokong pembangunan industri perkapalan serta memajukan sektor pelancongan sekali gus berupaya menjana ekonomi negara dan negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee berkata, pelabuhan itu akan dikawal selia oleh Jabatan Laut Malaysia dengan memastikan keselamatan aktiviti dan trafik perkapalan di perairan berkenaan yang dijangka meningkat, termasuk menetapkan ruang laluan selamat, selesa dan bersesuaian di kawasan pelabuhan.

POPULAR