Wisma Putra pantau dakwaan dua rakyat Malaysia ditahan Taliban

Wisma Putra akan memantau perkembangan terkini berhubung dakwaan dua rakyat Malaysia dilaporkan ditahan Taliban di Afghanistan kerana didakwa sebagai ahli kumpulan militan Negara Islam (IS).

Perkara itu dijelaskan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memandangkan ia melibatkan bidang kuasa Kementerian Luar dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan pihak berwajib dibawah bidang kuasa mereka.

“Media perlu mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu daripada Wisma Putra kerana ia sudah memasuki skop mereka,” katanya dipetik daripada laporan sebuah portal hari ini.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi berkata, tiada kenyataan akan dikeluarkan berhubung kes penahanan itu setakat ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sudah mengemukakan permohonan kepada agensi keselamatan luar negara bagi mengesahkan laporan rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan.

Acryl Sani dipetik berkata, siasatan juga sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita dilapor itu membabitkan pejuang IS warga Malaysia yang memang berada di luar negara.

Media antarabangsa melaporkan dua rakyat Malaysia antara enam individu ditahan pihak berkuasa Taliban di Kabul, Afghanistan Khamis lalu, kerana terbabit dalam pertempuran.

Cabang IS di Afghanistan dikenali dengan singkatan IS-K dikatakan menentang Taliban dan tentera Amerika Syarikat.

IS-K adalah serpihan daripada anggota Taliban yang menyasar untuk menubuhkan pemerintahan khalifah di wilayah yang sebelum ini disebut Khorasan, kawasan yang merangkumi sebahagian Iran, Afghanistan dan beberapa bahagian Asia Tengah.

Rakyat Malaysia dikatakan antara ribuan pejuang asing yang menyertai IS ketika kemuncak perang di Iraq dan Syria.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut 102 rakyat Malaysia sudah menyertai IS dan 40 dikatakan maut dalam pertempuran.

BERITA BERKAIT
POPULAR