Wisma Putra nafi laporan pegawai kedutaan Malaysia lari dari Ukraine

Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini menafikan dakwaan media asing mengatakan pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv, Ukraine melarikan diri dari wilayah itu.

Wisma Putra juga menafikan, kononnya tiada prosedur operasi standard (SOP) pemindahan pegawai kedutaan dan individu warganegara keluar dari Ukraine, dan menyifatkan semua dakwaan itu sebagai tidak berasas.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata semua kedutaan besar Malaysia, termasuk di Kyiv, mempunyai pelan pemindahan yang sedia diaktifkan sekiranya perlu, dan sentiasa dikemas kini berdasarkan situasi di lapangan dan keperluan semasa.

Kerajaan membincangkan pelan pemindahan rakyat Malaysia dari Ukraine dan pelaksanaannya secara terperinci ketika Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Februari lalu, di mana Menteri Luar memaklumkan perkembangan di Ukraine, terutama status keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di sana.

“Mengambil kira keadaan yang meruncing di lapangan dan bagi menjamin keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia, Perdana Menteri membuat keputusan pada 24 Februari supaya Pelan Evakuasi warganegara Malaysia di Ukraine diaktifkan serta-merta.

“Pergerakan misi evakuasi warganegara Malaysia dari Ukraine dan maklumat sensitif seperti pelan evakuasi tidak didedahkan kepada umum demi menjaga keselamatan semua yang terbabit dalam misi itu.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaksanaan misi berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan,” katanya.

Wisma Putra juga berkata penggunaan empat kereta, termasuk dua kenderaan kedutaan, sememanganya adalah sebahagian daripasa pelaksanaan dan perancangan misi pemindahan itu.

“Penggunaan kenderaan kecil dan bukannya bas telah mengambil kira bilangan yang terbabit dalam misi ini dan juga bagi memudahkan pergerakan serta menjaga keselamatan sepanjang perjalanan.

“Setakat ini, hanya beberapa kedutaan asing sahaja yang menggantung operasi di Kyiv atau memindahkan operasi mereka ke bandar lain di Ukraine.

“Operasi Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv terpaksa digantung sementara kerana dua pegawai kedutaan terbabit secara langsung dalam pelaksanaan misi evakuasi ini,” katanya.

Sebelum ini, South China Morning Post (SCMP) melaporkan, diplomat Malaysia melarikan diri dari Kyiv dengan empat kereta selepas bas sewa mereka tidak tiba.

SCMP mendakwa, mereka terpaksa melarikan diri selepas proses pemindahan tidak berjalan lancar kerana kerajaan Malaysia sebelum ini menjangkakan pencerobohan Russia terhadap Ukraine tidak akan berlaku.

BERITA BERKAIT
POPULAR